PEKAN: Seorang guru wanita di sebuah sekolah rendah kerugian kira-kira RM6,000 apabila rumahnya di Taman Tanah Putih Baru di sini dimasuki pencuri hari ini.
Mangsa, Khairatul Azlina Abdul Karim, 33, hanya menyedari kejadian tersebut pada 9 pagi setelah pulang ke rumah selepas bermalam di rumah ibunya.
Katanya dia bersama empat anak lelakinya yang berusia antara lima bulan dan lima tahun meninggalkan rumah kira-kira 11.30 malam semalam untuk tidur di rumah ibunya yang terletak kira-kira 2 kilometer dari situ berikutan ketiadaan suaminya yang berkursus di Perlis sejak minggu lepas.
"Ketika membuka pintu rumah, saya terkejut kerana keadaan di dalam rumah berselerak dan pintu di bahagian tepi rumah terbuka," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Hasil pemeriksaan, dia mendapati sebuah komputer riba, kamera digital, sebentuk cincin emas dan tiga tabung duit syiling milik anaknya yang keseluruhan bernilai kira-kira RM6,000 telah hilang.
Khairatul Azlina berkata dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan.
"Mujur saya anak-beranak tergerak hati untuk tidur di rumah ibu, siapa tahu apa akan terjadi pada kami," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan DSP Amran Sidek mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan