Isnin, 17 Oktober 2011

Orang ramai terkejut pemuda bunuh diri

IPOH: Seorang pemuda yang awalnya dilihat mundar-mandir dalam keadaan gelisah di tingkat empat kawasan tempat letak kereta di sebuah pasar raya di sini, ditemui maut selepas nekad terjun daripada bangunan berkenaan.

Dalam kejadian jam 5.45 petang kelmarin di Jalan Datuk Onn Jaafar, mangsa dikenali sebagai Sem Khai Choong, 29, berasal dari Jalan Sultan Iskandar Shah, di sini, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan bahagian dalaman badan.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia melihat mangsa berlegar-legar dalam keadaan gelisah di tingkat empat kawasan tempat letak kereta itu.

Beliau berkata, selang beberapa minit kemudian, dia terkejut apabila mangsa tiba-tiba terjun dari bangunan berkenaan.

“Saya dan beberapa orang awam lain meluru ke tingkat bawah untuk memeriksa keadaan mangsa yang ketika itu nyawa-nyawa ikan dan tidak bergerak lagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mayat lelaki itu ditemui orang awam, jam 5.45 petang semalam dalam keadaan berlumuran darah di tingkat bawah bangunan itu.

Beliau berkata, orang awam yang melalui kawasan terbabit terkejut melihat sekujur tubuh lelaki dalam keadaan terbaring di atas jalan raya berhampiran pasar raya itu.

“Orang awam yang melihat mayat lelaki itu segera menghubungi polis bagi melaporkan kejadian. Mangsa maut dipercayai akibat cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

“Buat masa ini, kami mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut. Bagaimanapun, tiada unsur jenayah ditemui pada mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.

Azisman berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan