LANGKAWI: Misteri panggilan telefon tidak berjawab membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki berlumuran darah dengan kesan tembakan di kepala di sebuah bilik apartmen di Kampung Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat, di sini, semalam.
Mayat lelaki berusia 30-an itu ditemui kakitangan apartmen berkenaan jam 9.30 pagi ketika membuat pemeriksaan di bilik terbabit sebelum memaklumkan kepada pengurusan untuk membuat laporan polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, pekerja terbabit yang membuka pintu bilik berkenaan terkejut melihat mayat seorang lelaki terlentang berlumuran darah dan sudah berbau.
Menurutnya, mangsa dari Kamunting, Perak mendaftar masuk ke apartmen itu pada Khamis lalu dan pekerja terbabit turut membuat beberapa panggilan untuk mengemas bilik berkenaan, bagaimanapun tiada jawapan.
Katanya, akibat tidak sedap hati, pekerja terbabit membuat pemeriksaan sebelum menemui mayat mangsa di dalam bilik sebelum menghubungi polis.
“Sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat lelaki terbabit dalam keadaan berseluar tanpa baju, selain kakinya berlipat dengan kesan satu das tembakan di kepala.
“Berikutan penemuan mayat pagi tadi (semalam), seorang wanita berusia 69 tahun datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi membawa beg hitam mengandungi pakaian dan sepucuk pistol jam 4 petang ini (semalam).
“Pemeriksaan lanjut menemui beberapa telefon bimbit, sebuah komputer riba dipercayai milik mangsa dan cermin mata yang boleh membantu siasatan dan mengenal pasti suspek,” katanya pada sidang media di IPD Langkawi, di sini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Harith Kam Abdullah dan Timbalannya, Deputi Superintendan Mat Akhir Jaafar.
Menurutnya, polis kini memburu dua pasangan warga tempatan termasuk satu pasangan suami isteri semuanya berusia 30-an yang juga suspek utama dalam kes pembunuhan dipercayai bermotifkan dadah.
Katanya, polis sudah mengenal pasti suspek terbabit adalah pasangan suami isteri manakala dua lagi pasangan kekasih yang juga kenalan kepada mangsa.
“Operasi memburu keempat-empat suspek kini dipergiatkan dengan pemantauan berterusan di semua laluan keluar dari pulau ini di jeti Kuah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Matsirat,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat)./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan