KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 41 tahun hampir kehilangan tangan kanannya apabila ditetak dua lelaki berhampiran rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Usahawan di sini, awal pagi semalam.
Mangsa, A Murugaiyah, ditemui isterinya dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas kehilangan banyak darah akibat tetakan pada lengan dan ditikam pada pinggang, selain cedera di badan.
Menurut isteri mangsa, Danam Letchmy, 24, dia menyedari keadaan itu kira-kira jam 4 pagi sebaik dimaklumkan jiran yang terdengar jeritan suaminya.
“Saya terkejut melihat keadaan suami yang berlumuran darah dan pengsan di hadapan sebuah rumah di tingkat 11 iaitu satu tingkat di bawah rumah kami.
“Jiran yang datang membantu kemudiannya menghubungi polis dan ambulans bagi menghantar suami saya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada Harian Metro.
Menceritakan kejadian itu, Danam Letchmy berkata, mereka keluar ke rumah kakak ipar di tingkat 17 blok yang sama bagi menghadiri jamuan makan malam yang turut dihadiri beberapa kenalan rapat.
Menurutnya, dia pulang ke rumah bersama empat anaknya yang lain kerana waktu ketika itu sudah lewat malam dan meninggalkan suaminya yang masih berbual di tangga bersama beberapa rakannya yang lain.
“Suami memang kenal kedua-dua lelaki yang menyerangnya, tetapi mereka tidak rapat. Melalui cerita suami, dua lelaki itu tiba-tiba menyerangnya sebelum menetak tangan kanan,” katanya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan