KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang terbabit dengan kes rogol dan bunuh seorang remaja perempuan, Sheau Fang, 18, yang mana mayat mangsa ditanam di dalam lubang bersimen di depan rumahnya di Taman Perwira, Banting, tujuh tahun lalu.
Suspek berusia 37 tahun itu kini ditahan reman di Balai Polis Banting selama tujuh hari untuk siasatan berhubung kes berkenaan.
Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Adnan Abdullah, berkata suspek juga melarikan diri daripada lokap Balai Polis Banting, tujuh tahun lalu, ketika ditahan untuk siasatan kes berkenaan.
“Lelaki itu ditahan kerana terbabit dengan kes melarikan sebuah kereta mewah, baru-baru ini, dan hasil siasatan lanjut mendapati suspek turut terbabit dengan kes rogol dan bunuh.
“Polis akan membuka semula kertas siasatan kes berkenaan dan siasatan turut mendapati suspek pernah terbabit dengan kes peras ugut yang dilaporkan pada 1999,” katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan pada 9 Mac 2004, seorang gadis dilaporkan dirogol sebelum mayatnya ditanam dengan simen konkrit oleh seorang lelaki bagi mengelak dikesan.
Dalam kejadian di Taman Wira, Jalan Wira 24, Banting, lelaki terbabit menggunakan jengkaut bagi mengorek lubang sedalam 1.7 meter sebelum menutupkan kawasan itu dengan simen.
Gadis berkenaan sebelum itu dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 26 Februari 2004 selepas keluar bersama seorang lelaki pada jam 9 malam. Susulan kehilangan itu, keluarga mangsa membuat aduan di Biro Pengaduan Awam MCA./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan