Jumaat, 7 Oktober 2011

Lelaki OKU pukul isteri didenda

MELAKA: Seorang lelaki kelainan upaya (OKU) dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya yang juga OKU dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Rama Pantai, dekat sini, bulan lalu.

Majistret Muhammad Hazri Hanafi, menjatuhkan hukuman itu ke atas pembantu kedai, Mustafah Akhbar Ali, 41, selepas beliau menimbangkan semua fakta, rayuan dan hujah pendakwa.

Muhammad Hazri turut menasihati tertuduh supaya menggunakan saluran betul iaitu melaporkan kepada pegawai Sulh atau merujuk kes ke Mahkamah Syariah apabila mendakwa isterinya berzina dengan lelaki lain dan bukannya mengambil hukuman di tangan sendiri dengan mencederakan isterinya akibat marah.

Mengikut pertuduhan, Mustafah dari Bachang didakwa dengan sengaja mencederakan Siti Zuraida Mohd Merry, 19, menggunakan batang pancing dan topi keledar di dalam bilik di sebuah rumah dekat Jalan Pengkalan Rama Pantai, kira-kira jam 8.30 malam, 25 September lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh mencederakan isterinya kerana selisih faham selepas mengesyaki dia mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Disebabkan isterinya menafikan perkara itu, tertuduh naik angin dan bertindak memukul badan, tangan serta kepala mangsa menggunakan batang pancing sebelum dia keluar rumah.

Apabila balik, tertuduh membawa isterinya ke rumah ibu mentuanya di Bachang dan di situ dia sekali lagi memukul kepala mangsa dengan topi keledar sebelum memukulnya dengan wayar kipas ketika berada di rumah disebabkan tidak puas hati.

Mangsa melarikan diri apabila tertuduh keluar rumah dan meminta bantuan kakaknya di Kampung Pulai Darat, Merlimau, yang membawanya ke hospital sebelum membuat laporan polis.

Siasatan polis, mendapati mangsa anak bongsu enam beradik pernah belajar di Sekolah Pendidikan Khas sehingga berusia 18 tahun kerana lembam.

Sementara itu, ketika merayu hukumannya diringankan Mustafah berkata, dia mempunyai kecacatan pada bahagian kaki dan miskin serta terpaksa menyara ibunya yang sudah tua.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan