SENAWANG: Seorang mangsa samun hanya mampu berdoa tidak dicederakan ketika diacukan parang di leher oleh seorang lelaki yang kemudiannya merentap rantai dan beg di pinggangnya.
Robiah Abd Samad, 51, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi di Taman Seri Pagi di sini, semalam, ketika dia dan seorang pembantunya bersiap-siap membuka gerai tepi jalan miliknya, :berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Seri Pagi.
Menurutnya, secara tiba-tiba muncul enam lelaki bermotosikal dalam lingkungan 20-an.
“Seorang daripada mereka berpura-pura bertanyakan menu sebelum menghampiri saya dan mengacukan parang.
“Ini kejadian kali pertama sejak dua tahun berniaga di taman ini,” katanya.
Robiah berkata, dia tidak mengesyaki jadi mangsa samun kerana dia dan pembantu menganggap semua lelaki terbabit mahu menjamu selera.
“Saya tak dapat mengecam wajah suspek kerana mereka memakai helmet.
“Lagipun ketika kejadian tiada sesiapa melalui kawasan ini menyebabkan mereka dapat melarikan diri,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.
Menurutnya, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Senawang dan kerugian dianggarkan RM4,000.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Yusof Awang mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Menurutnya, polis giat mencari enam lelaki terbabit yang dipercayai turut terlibat dua kejadian sama sebelum ini./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan