Jumaat, 21 Oktober 2011

Menyamar pelanggan sebelum rompak

SEBERANG JAYA: Tiga lelaki berpura-pura menjadi pelanggan sebuah kedai emas sebelum bertindak melarikan wang tunai RM28,000 dan sejumlah barang kemas dari premis terbabit dalam satu kejadian rompakan, di Lorong Tenggiri, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, tiga lelaki berkenaan menggunakan modus operandi menyamar sebagai pelanggan dan berlakon kononnya mahu membeli barang kemas sebelum mengacukan senjata ke arah pekerja premis.

Dipercayai, perompak berkenaan bersenjatakan parang dan pistol untuk merompak barangan dalam premis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dan pihaknya kini sedang giat memburu ketiga-tiga suspek.

“Penjenayah ini dilihat membuat perancangan dengan teliti terlebih dahulu sebelum merompak kerana mereka tahu operasi premis termasuk jumlah hasil jualan pada hari sebelumnya yang belum dimasukkan ke dalam bank.

“Justeru, di sini, saya ingin menasihati kepada pemilik premis terutama kedai emas supaya memasukkan hasil jualan pada hari sama bagi mengurangkan risiko dirompak,” katanya kepada Sinar Harian.

Azman dalam pada itu berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan