HULU BERNAM: Gara-gara bertengkar, seorang suri rumah menemui ajal setelah parah dipercayai dibelasah kakak dan suaminya.
S Gurmeet Kaur, 41, peniaga nasi lemak di Pekan Hulu Bernam ditemui terbaring dan berlumuran darah di atas katil oleh anak sulung mangsa, K Shahendra, 24, ketika pulang ke rumah kira-kira jam 7 pagi di Kuarters Pusat Haiwan Kecil di sini semalam.
Shahendra ketika ditemui berkata, dia mendapati adiknya berusia 11 tahun menangis seperti ketakutan ketika tiba di kuaters berkenaan.
“Saya lihat adik menangis ketakutan, saya cuba tanya dia tapi tidak jawab dan bila menoleh ke katil saya terkejut melihat mak terbaring dengan kesan luka, lebam serta berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, dia mengesyaki ibunya dibelasah oleh bapanya, G Krishnan, 58, kerana pada malam kejadian berlaku pertengkaran antara mereka.
Shahendra berkata, pada malam tersebut bapanya dalam keadaan mabuk dan memarahi ibunya yang ketika itu turut disaksikan adik bongsunya bersama nenek serta ibu saudaranya.
“Pada malam itu, kira-kira jam 11.30 malam ayah dengan mak bergaduh.
“Ayah mabuk dan cuba mencederakan mak tapi dia tidak berani berbuat demikian kerana saya ada di situ dan keadaan menjadi tenang,” katanya yang baru pulang dari Cameron Highlands Pahang kerana bercuti.
Bagaimanapun, kejadian malang itu dipercayai berlaku setelah dia keluar dan hanya dapat tahu setelah pulang.
Shahendra berkata, dia juga sempat bertanya kepada bapanya mengenai kejadian menimpa ibu dan diberitahu berpunca daripada pergaduhan.
Menurutnya, bapanya mengangkat ibu dan meletakkannya di atas katil setelah bangkit daripada tidur pagi semalam.
Shahendar berkata, bapanya tidak menyedari kejadian itu kerana berada di bawah pengaruh alkohol dan hanya sedar ketika terjaga dari tidur.
Shahendra berkata, pertengkaran antara bapa dan ibunya kerap berlaku terutama selepas mereka mengambil minuman beralkohol./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan