Sabtu, 22 Oktober 2011

Warga emas ditetak penyamun

SEREMBAN: Seorang wanita warga emas di Taman Guru di sini, melalui detik menakutkan apabila diserang penyamun bersenjatakan parang ketika menjemur pakaian di rumahnya, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, mangsa, Indun Yahya, 62, turut dicederakan apabila penyamun terbabit bertindak ganas menetak muka dan tangannya.

Menceritakan kejadian Indun berkata, dia yang mahu menjemur pakaian di ampaian melihat tiga motosikal dinaiki enam lelaki berada di luar kawasan rumahnya, namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Tiba-tiba seorang daripada mereka turun dari motosikal dan menghampiri pagar rumah saya untuk bertanyakan alamat seseorang.

“Saya kata tidak tahu tetapi lelaki terbabit terus membuka pintu pagar dan memasuki kawasan rumah bersama seorang lagi rakannya yang dilihat bersenjatakan parang panjang,” katanya.

Menurut Indun, kedua-dua suspek yang meluru ke arahnya bertindak memegang bahu dan meletakkan parang ke lehernya.

“Seorang daripada suspek cuba meragut rantai leher emas dipakai tetapi saya cuba menggenggamnya hingga menyebabkan sebahagian daripadanya terputus.

“Melihat keadaan itu, suspek bertindak menetak muka di bahagian pipi kiri. Bagaimanapun, gelang tangan saya berjaya diragut suspek yang turut cuba merampas cincin tetapi gagal,” katanya.

Indun berkata, dia bernasib baik kerana jirannya yang menyedari kejadian itu menjerit menyebabkan suspek segera melarikan diri.

Menurutnya, walaupun cedera tetapi dia bersyukur kerana penyamun berkenaan tidak memasuki rumahnya kerana dua anak perempuan dan seorang cucu berada di dalam.

“Saya mendapatkan :rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Rahang,” katanya yang menganggarkan nilai kerugian hampir RM5,000.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Md Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, pihaknya mempergiatkan usaha memburu suspek dan meminta orang ramai yang melihat individu mencurigakan menaiki motosikal di kawasan mereka supaya menghubungi mana-mana balai untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan,” katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan