Rabu, 19 Oktober 2011

Dua mayat bawah jambatan

GERIK: Dua mayat lelaki warga Pakistan ditemui di bawah Jambatan Sungai Kenderong, di sini, semalam, dipercayai dibunuh dan dihumban dalam jarak ketinggian 18.3 hingga 21.3 meter, manakala seorang lagi ditemui dalam keadaan lemah.

Mayat berkenaan ditemui oleh dua orang penduduk berhampiran yang datang untuk berkelah terkejut apabila seorang lagi mangsa masih hidup melambai-lambai tangan meminta bantuan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abd Manab Baharom berkata, kejadian berlaku di kilometer 8.9, Jalan Gerik menuju ke Kupang dan kesemua mangsa dipercayai dihumban ke tebing sungai berkenaan dari atas jambatan sejak empat hari lalu.

Menurutnya, ketika-tiga mangsa dipercayai bekerja dengan agensi pekerja asing di Klang dan dalam perjalanan menuju ke Pulau Pinang.

“Penduduk menjumpai mayat dan mangsa yang masih hidup kira-kira jam 12.30 tengah hari dan segera menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan.

“Terdapat kesan tetakan pada dahi mangsa yang masih hidup tetapi sudah tidak bermaya untuk bercakap, manakala terdapat kesan cedera di bahagian tangan serta badan mayat.

“Kesemua mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan mangsa yang lemah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan itu dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan, manakala kedua-dua mayat diangkat dari lokasi kira-kira jam 6.15 petang bagi tujuan bedah siasat juga di hospital sama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, punca kejadian dan motif pembunuhan masih belum diketahui dan siasatan masih dijalankan.

Berdasarkan motif awal siasatan katanya, ketiga-tiga mangsa kemungkinan disamun sebelum dihumban tetapi motif sebenar pembunuhan masih dalam siasatan.

“Lokasi kejadian jauh dari perumahan penduduk iaitu kira-kira 8 kilometer dan mangsa yang cedera parah terpaksa bertahan tanpa makanan dalam tempoh empat hari sebelum ditemui.

“Kepada individu atau sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diharapkan dapat menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan