Sabtu, 22 Oktober 2011

Lapan lelaki samun van rokok

BESUT: Seramai lapan lelaki berpakaian serba hitam dan senjata belatan besi menyamun dua van membawa muatan pelbagai jenis rokok menyebabkan kerugian RM80,000 dalam kejadian samun di Kampung Pulau Panjang, di sini petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.50 petang kelmarin ketika pemandu dua van tersebut singgah solat di sebuah masjid di kampung berkenaan.

Menurutnya, selepas solat Zohor, dua pemandu van berusia 44 dan 43 tahun itu pergi ke van yang diletakkan di pekarangan masjid untuk makan nasi bungkus.

“Secara tiba-tiba mangsa didatangi suspek yang kemudiannya menghantukkan kepala mangsa berusia 44 tahun kepada stereng, sebelum kedua-dua mangsa kemudian diikat tangan dan mata ditutup,” katanya.

Kamaruddin berkata, suspek kemudiannya mengambil wang tunai milik mangsa berumur 44 tahun berjumlah RM4,000 dan wang jualan hasil jualan rokok berjumlah RM3,000.

“Suspek turut melarikan sejumlah 531 kartun rokok pelbagai jenis bernilai RM50,985 dari kedua-dua van tersebut. Bagaimanapun pemandunya tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Menurutnya, seorang mangsa dikurung di bahagian belakang van manakala seorang lagi cuba diculik namun gagal, sebelum suspek dipercayai lapan orang itu melarikan diri dengan dua buah kenderaan iaitu sebuah Proton Perdana berwarna hitam dan Proton Waja berwarna perak.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan