PARIT BUNTAR: Lima penduduk di sini mendakwa diri mereka ditipu rakan sekolah yang hanya dikenali sebagai Mohd Zambri apabila melarikan semua wang mereka berjumlah hampir RM20,000 yang diberi kepadanya atas alasan membentuk perkongsian perniagaan.
Salah seorang mangsa, Zulkifli Mohamed Noor, 51, berkata, Mohd Zambri adalah rakan sekolah mereka dan tidak menyangka akan ditipu setelah memberikan wang sejumlah RM5,000 kepadanya untuk membuka sebuah perniagaan pengangkutan Teksi di Selayang secara perkongsian.
Zulkifli berkata, sebelum kejadian berlaku, dia sempat bertemu dengan suspek yang memintanya menyerahkan sejumlah wang yang telah dibincangkan dengan jaminan mampu memperoleh keuntungan RM7,000 sebulan dalam masa tiga tahun.
Menurutnya, percaya dengan janji itu, dia tanpa berfikir panjang memberikan wang berkenaan, tambahan suspek telah dikenali sejak zaman persekolahan lagi.
“Namun setelah diselidik sebenarnya bukan saya seorang sahaja yang diperdayanya, malah empat lagi rakan saya termasuknya Abdul Aziz Ahmad, 51, turut menyerahkan wang tunai sebanyak RM12,800, manakala tiga lagi menyerahkan lebih RM5,000.
Katanya, semua itu adalah pelaburan bukan sahaja untuk membangunkan perniagaan teksi di Kuala Lumpur dan Terengganu, malah untuk mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan juga.
“Tetapi sehingga kini kami tidak mendapat apa-apa pulangan, melainkan suspek lesap tanpa dapat dikesan bersama wang pelaburan yang telah diberikan kepadanya.
“Kami juga telah membuat laporan polis dan harap orang ramai tidak turut menjadi mangsa suspek dipercayai masih berada di sekitar kawasan Selayang Baru, Batu Caves, Selangor,” katanya.
Katanya, dia bersama rakan-rakan lain masih memberu peluang dalam 15 hari selepas berita ini disiarkan untuk suspek memulangkan semua wang tersebut sebelum kes ini dibawa ke mahkamah./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan