Memaparkan catatan dengan label Zina/Buang Bayi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Zina/Buang Bayi. Papar semua catatan

Khamis, 23 Januari 2014

Jumpa mayat bayi di tandas masjid (Gambar)

KANGAR: Jemaah di Masjid Alwi di sini gempar selepas salah seorang daripada mereka menjumpai mayat bayi perempuan cukup sifat dibuang di tepi lubang tandas lelaki di masjid berkenaan kira-kira jam 7 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, Harian Metro difahamkan jemaah lelaki berkenaan baru selesai mengerjakan solat subuh berjemaah di situ dan pergi ke tandas berkenaan sebelum ternampak mayat bayi tersebut diletakkan bersebelahan lubang tandas di situ.

Dia kemudian memaklumkannya kepada pihak pengurusan masjid yang selepas itu memeriksa keadaan bayi yang sudah tidak bernyawa ketika ditemui.

Mereka kemudian memaklumkannya kepada pihak polis sebelum polis daripada bahagian forensik memeriksa lokasi kejadian termasuk bayi berkenaan.
Foto
Mayat bayi yang dijumpai di dalam tandas lelaki di masjid Alwi. FOTO Ihsan PDRM

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, bayi masih basah bertali pusat dipercayai baru sahaja diletakkan di situ dan dilahirkan beberapa jam sebelum itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit./hmetro

Rabu, 20 November 2013

Dirogol dalam rumah nenek

SETIU: Seorang pelajar tingkatan satu dirogol teman lelaki yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook di dalam bilik tidur rumah neneknya di Kampung Bintang, di sini, awal pagi semalam.

Pelajar cemerlang sebuah sekolah menengah di Besut itu dikatakan dirogol sebanyak dua kali oleh kekasihnya itu yang dikenalinya baru sebulan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, suspek berusia 15 tahun yang merupakan pelatih sebuah pusat latihan kemahiran telah datang ke rumah mangsa pada jam 12 tengah malam Khamis lalu dan mereka didakwa tidur bersama.

“Mangsa dan suspek dikatakan telah melakukan seks sebanyak dua kali iaitu pada jam 1 pagi dan 6.30 pagi Jumaat di dalam bilik tidur mangsa tanpa disedari ahli keluarganya,” katanya.

Ab Rahman berkata, perbuatan suspek bagaimanapun terbongkar apabila adik perempuan mangsa yang berumur 7 tahun masuk ke dalam bilik kira-kira jam 2 petang hari sama dan ternampak ada lelaki di dalam bilik.

Katanya, adik mangsa bertindak memberitahu bapa saudara mangsa yang kemudian memeriksa bilik berkenaan.

“Terkejut dengan kehadiran bapa saudara kekasihnya, suspek yang berasal dari Besut itu cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh bapa saudara mangsa sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.

Mangsa tinggal bersama neneknya di rumah berkenaan manakala ibu bapanya bekerja di daerah lain.

Suspek ditahan reman untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol./sinarharian

Ahad, 17 November 2013

Remaja bawah umur jadi hamba seks kekasih

BATU GAJAH: Disebabkan bimbang rakaman klip video memaparkan dirinya diperkosa disebarkan, seorang gadis berusia 15 tahun terpaksa menjadi hamba seks teman lelakinya sejak dua bulan lalu.

Mangsa turut dipaksa mengadakan hubungan seks dengan rakan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, pada 13 September lalu, mangsa dibawa teman lelakinya yang berusia 20 tahun ke sebuah rumah di Jalan Tanjung Tualang, di sini.

Menurutnya, lelaki terbabit memaksa mangsa melakukan hubungan seks dengannya di dalam bilik di rumah berkenaan.

Katanya, selepas melempiaskan nafsunya, lelaki itu menghantar mangsa ke perhentian bas berhampiran dan menyuruhnya pulang ke rumah menaiki bas.

"Kira-kira dua minggu selepas itu, suspek sekali lagi bawa mangsa ke rumah sama untuk melampiaskan nafsunya.

“Namun kali ini, mangsa menolak namun lelaki itu ugut ingin beritahu apa dilakukan mereka kepada keluarga mangsa jika enggan menurut kemahuannya," katanya.

Shaharon berkata, mangsa diperkosa sekali lagi oleh teman lelakinya itu dan suspek merakamkan perbuatan jijiknya itu menggunakan telefon bimbitnya.
Katanya, suspek kemudian memaksa mangsa mengikutnya ke rumah seorang rakan di kampung Baru Bakap, Jalan Tanjung Tualang, di sini, pada jam 8 pagi kelmarin.

Menurutnya, pada mulanya mangsa enggan namun terpaksa akur selepas suspek mengugut akan menyebarkan klip video dirakamnya.

“Mangsa dicium di dalam rumah itu dan dipaksa melakukan hubungan seks dengan rakan suspek berusia 18 tahun sebelum dia dihantar pulang ke rumahnya," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang tidak tahan diugut dan dipaksa menyerahkan tubuhnya membuat laporan polis di Balai Polis Batu Gajah, di sini.

Katanya, susulan laporan tersebut, polis berjaya memberkas suspek berusia 18 tahun di sebuah rumah di Kampung Seri Meriah pada jam 3 pagi semalam. Polis kini masih memburu teman lelaki mangsa./sinar

Khamis, 28 Mac 2013

Dua remaja dirogol di surau lama

HULU SELANGOR - Kegembiraan dua sahabat untuk bertemu teman lelaki bertukar mimpi ngeri, apabila kedua-dua mereka dirogol di surau lama, Jalan Padang Golf di sini, kira-kira seminggu lalu.


Sebelum kejadian, kedua-dua remaja yang tinggal di Rawang itu, difahamkan keluar untuk bertemu teman lelaki mereka di kawasan Kuala Kubu Baru pada Khamis lalu.


Mereka bagaimanapun tidak pulang ke rumah selama tiga hari, sebelum kedua-duanya berjaya ditemui di sebuah kafe siber di kawasan sama pada Sabtu lalu.


Susulan itu, dua laporan polis dibuat kelmarin oleh keluarga kedua-dua remaja berusia 14 dan 15 tahun itu yang mengesyaki mereka dirogol.


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, polis kemudiannya menahan dua lelaki berusia 15 dan 18 tahun iaitu teman lelaki kepada dua mangsa terbabit.


"Hasil soal siasat awal, dua suspek itu mengaku melakukan hubungan seks dengan kedua-dua mangsa di surau sebuah sekolah menengah di sini.


"Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan dan doktor mengesahkan terdapat kesan kemasukan pada kemaluan mereka," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.


Menurutnya, dua suspek itu kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol./sinarharian

Sabtu, 23 Mac 2013

Siasatan kes rogol: Suspek hilangkan diri

Muhamad Shahril Izairol Mohamad RoslanMuhamad Shahril Izairol Mohamad Roslan
IPOH – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai menghilangkan diri ketika masih dalam jaminan polis bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang pelajar tingkatan 3.


Ketua Polis daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, suspek dikenali Muhamad Shahril Izairol Mohamad Roslan, 22, dari Anjung Bemban Maju, Pusing itu ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan setelah berjaya ditangkap di Pekan Baru, Ipoh.


Bagaimanapun menurutnya, lelaki yang masih dalam jaminan polis itu dikesan menghilangkan diri sebelum proses pendakwaan dilakukan dan waran tangkap terhadap suspek telah diperoleh.


“Barang kes seperti tilam dan cadar telah dirampas dan dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya untuk analisa, setelah siasatan lengkap, timbalan pendakwa raya bersetuju membuat pertuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol. Bagaimanapun sehingga kini suspek gagal dikesan,” katanya.


Dalam kejadian November 2011 lalu, seorang remaja berusia 15 tahun yang tinggal di Flat Sri Conolly, Jalan Pasir Puteh membuat laporan dirogol di sebuah kediaman di Taman Anjung Bemban Maju, kira-kira jam 1.30 pagi.


Shaharon berkata, mangsa mengikut suspek yang juga teman lelakinya telah menolak untuk melakukan hubungan seks dan telah cuba melawan, namun gagal melepaskan diri.


“Polis menerima laporan daripada mangsa kira-kira tujuh bulan selepas kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Hidayah Mahzan di talian 05-3629222,” katanya./sinarharian

Khamis, 21 Mac 2013

Remaja perempuan, 14 tahun yang hilang, ditemui bersembunyi di belakang pokok sedang melakukan hubungan seks

Buat maksiat belakang pokok
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh
KULIM - Polis berjaya menemui semula seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang beberapa hari lalu di sebuah ladang kelapa sawit dekat sini, kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.


Pelajar itu dikatakan lari dari rumah dan tinggal bersama rakannya.


Ketika ditemui, dia bersembunyi di belakang pokok kelapa sawit dan lebih mengejutkan, pelajar itu sedang melakukan hubungan seks bersama
kekasihnya.


Pasangan kekasih itu bagaimanapun cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan polis.


Remaja itu dan suspek kemudiannya dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.


Siasatan mendapati, gadis berkenaan mengenali suspek dua bulan lalu dan pernah melakukan hubungan seks lebih dari sekali.


Pada mulanya, dia dikatakan a mengajak suspek pergi berkelah bagaimanapun suspek membawanya ke ladang kelapa sawit untuk melakukan hubungan seks.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.


Beliau turut menasihatkan mana-mana remaja lelaki supaya tidak menjalinkan hubungan intim dan melakukan hubungan seks dengan pelajar perempuan bawah umur.


“Sekiranya mereka melakukan hubungan seks terhadap pelajar perempuan bawah umur, ia merupakan satu kesalahan serius kerana perbuatan itu diklasifikasikan sebagai rogol walaupun mangsa merelakannya.


“Suspek yang melakukan jenayah rogol, boleh dikenakan hukuman penjara dan sebatan,” katanya./sinarharian

Jumaat, 15 Mac 2013

Bersekedudukan hingga hamil

Bersekedudukan hingga hamil
Salmah berharap dapat melalui prosedur pernikahan sah menurut syariat Islam selepas memeluk Islam sebulan lalu
ROMPIN: “Saya tak tahu prosedur, malah saya bimbang jika anak dilahirkan ini tidak boleh dibin atau dibintikan bapanya yang sebenar kerana saya telah mengandung lapan bulan,” demikian luahan seorang saudara baru yang memeluk Islam, kira-kira
sebulan lalu.

Salmah (bukan nama sebenar), 30, berkata, dia mengandung anak luar nikah hasil hubungan sulitnya dengan seorang lelaki warga asing yang bekerja di sebuah projek tanaman buah-buahan tempatan berhampiran tempat tinggalnya.

Menurutnya, dia dan lelaki yang dikenali sebagai Mahmud (bukan nama sebenar), 30, mula menjalani kehidupan sebagai ‘suami isteri’ selepas dia disahkan mengandung dua bulan.

“Akibat keterlanjuran kami, saya mengandung, dan dia sanggup bertanggungjawab atas segala yang berlaku, malah mahu memperisterikan saya secara sah melalui ikatan perkahwinan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, katanya, dia berdepan masalah untuk berkahwin secara sah kerana ‘suami’ warga asing itu beragama Islam, sedangkan dia masih berpegang kepada ajaran animisme dianutinya selama ini.

“Saya pergi ke Pejabat Agama Islam Daerah (Paid), namun mereka meminta kami memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Imigresen memandangkan suami bukan orang tempatan,” katanya.

Salmah berkata, disebabkan urusan mendaftar perkahwinan rumit, mereka mengambil keputusan untuk berkahwin mengikut istiadat masyarakat Orang Asli.

“Setelah berbincang dengan keluarga saya, kami mengambil keputusan untuk berkahwin mengikut adat Orang Asli, malah ketika perkahwinan itu dilangsungkan saya masih belum memeluk Islam,” katanya.

Menurutnya, dia memeluk Islam sebulan lalu di Paid Rompin, bagaimanapun terpaksa menyembunyikan kandungannya.

Salmah yang mempunyai enam orang anak hasil perkahwinan terdahulu berkata, dia mahu mengikut prosedur pernikahan sah menurut syariat Islam kerana bimbang masa depan anak yang bakal dilahirkannya itu.

“Saya memohon Paid menikahkan saya dengan segera kerana tidak sanggup bergelumang dosa, apatah lagi saya sudah menjadikan Islam sebagai pegangan hidup,” katanya.

Menurutnya, sejak hidup bersama Mahmud, lelaki warga asing itu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, malah dia yakin perkahwinan keduanya itu menemui kebahagiaan yang dicarinya selama ini.

“Saya mahu terus hidup bersamanya. Biarpun berlainan keturunan. Saya yakin lelaki ini bertanggungjawab dan ikhlas menerima saya seadanya,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Paid Muadzam Shah berkata, perkahwinan yang dijalankan mengikut adat Orang Asli itu tidak sah di sisi syarak, sedangkan lelaki itu beragama Islam.

Menurutnya, pasangan itu perlu datang ke Paid Muadzam Shah untuk membetulkan semula pernikahan tersebut seandainya semua syarat termasuk kelulusan dan kebenaran daripada kedutaan negara dan Jabatan Imigresen diperoleh.

“Bagaimanapun, status anak dikandungkannya tidak sah dan tidak boleh dibin atau dibintikan dengan nama lelaki terbabit,” katanya./sinarharian

Jumaat, 1 Mac 2013

Rogol: Pemuda ke Henry Gurney

KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang gadis keluar rumah tanpa pengetahuan bapanya menyambut malam tahun baru bersama teman lelakinya mengundang padah apabila dia menjadi mangsa rogol pemuda berkenaan.

Bagaimanapun, perbuatan tidak bertanggungjawab teman lelakinya yang berusia 20 tahun dari Kampung Imam Lapar, Kuala Telemong itu menerima pembalasan selepas diperintahkan ke Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka oleh Mahkamah Sesyen, di sini.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris memutuskan perintah berkenaan selepas tertuduh mengaku bersalah telah merogol mangsa yang semasa kejadian berusia 13 tahun di tepi jalan Kampung Gelam Kuala Telemong, Hulu Terengganu, pada 31 Disember lalu, jam lebih kurang 10 malam.

Memandangkan dia dikategorikan sebagai pesalah muda, Wan Fadhilah Nor memerintahkan dihantar ke sekolah tersebut sehingga mencapai usia 21 tahun bagi memberi pengajaran serta tauladan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhamad Hayatuddin Mohd.

Terdahulu dalam rayuannya, dia memohon agar diringankan hukuman kerana mendakwa kejadian itu bukan paksaan, sebaliknya mangsa merelakan selain sudah insaf dan berjanji tidak akan melakukan perbuatan itu lagi.

Dalam masa sama, dia turut mengakui perbuatan yang dilakukan itu adalah satu tindakan sangat bodoh kerana terlalu mengikut hawa nafsu.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, lebih kurang jam 7 pagi, mangsa telah keluar rumah untuk berjumpa dengan tertuduh di hadapan kedai T-Shoppe Kuala Telemong, menaiki kereta milik bapanya tanpa pengetahuan bapanya itu.

Tertuduh kemudiannya membawa mangsa ke rumahnya di Kampung Imam Lapar, Kuala Telemong, sebelum keluar berjalan-jalan di bandar raya ini sehingga jam 9 malam.

Selepas itu, lebih kurang 20 minit kemudian, dalam perjalanan pulang, tertuduh telah memberhentikan kereta di tepi jalan Kampung Pelam, di sini, dan disitulah mangsa dirogol.

Setelah dirogol, mangsa telah dihantar oleh tertuduh ke rumah mak angkat mangsa di Jalan Batas Baru, di sini, lebih kurang jam 2 pagi.

Bagaimanapun, semasa di sana, mangsa terserempak dengan bapanya dan setelah disoal, mangsa menceritakan apa yang berlaku.

Mangsa dan bapanya telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Telemong pada keesokan harinya./sinarharian

Rabu, 27 Februari 2013

Culik, rogol teman wanita

Culik, rogol teman wanita
Tertuduh (tengah) dikawal ketat anggota polis keluar dari mahkamah selepas dituduh, semalam
KOTA BHARU – Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menculik dan merogol teman wanitanya yang berusia 16 tahun, 11 Februari lalu.

Tertuduh yang berusia 21 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mohd Amirul Hisyam Mat Salleh dari Kampung Batu Hitam, Pasir Puteh didakwa menculik gadis itu pada jam 7 pagi tarikh berkenaan sebelum didakwa merogolnya pada jam 3 petang hari sama.

Pertuduhan rogol dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan manakala tuduhan culik dibuat berasingan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Bagi dakwaan rogol, tertuduh berdepan penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat manakala, bagi tuduhan culik dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, susulan daripada penafiannya, Azman menangguhkan kes untuk pengurusan sementara tertuduh yang diwakili peguam, Rosmizan Sulaiman dibenarkan diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh sebelum ini bekerja sebagai penoreh getah sebelum berpindah ke Kuala Lumpur dan berkhidmat sebagai mekanik.

Azman dalam pada itu turut mengenakan syarat kepada tertuduh supaya tidak mendekati mangsa, mengganggu atau berkomunikasi dengan remaja perempuan itu dalam apa-apa cara sekalipun.

Dia yang kematian bapanya sejak 12 tahun lalu itu kemudian dijamin oleh datuk saudara./sinarharian

Ahad, 17 Februari 2013

Terjerat janji manis kekasih, hamil 4 bulan

KULIM - Terpedaya dengan janji manis teman lelaki, seorang remaja berusia 17 tahun disahkan hamil empat bulan setelah menjalinkan hubungan cinta dengan kekasihnya itu sejak tiga tahun lalu.

Namun, bagi memastikan mangsa tidak membuat laporan polis, keluarga kekasihnya berbincang dengan keluarga mangsa dan bersetuju untuk menikahkan kedua-dua mereka.

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, keluarga lelaki menyatakan keengganan mereka untuk menerima mangsa sebagai menantu.

Keputusan ini mendatangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli keluarga mangsa yang kemudiannya bercadang membuat laporan polis bagi memastikan lelaki berkenaan dikenakan tindakan sewajarnya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, sehingga kini, keluarga mangsa belum membuat sebarang laporan tentang permasalahan itu sebaliknya pernah membuat laporan polis pada tahun lalu apabila mangsa didapati tidak pulang ke rumah.

Menurutnya, polis memandang serius terhadap permasalahan seperti ini dan sekiranya waris mangsa membuat laporan polis, siasatan akan dijalankan.

“Jika kali pertama pasangan itu melakukan hubungan seks ketika mangsa di bawah umur, perbuatan itu akan diklasifikasikan sebagai rogol dan suspek boleh disiasat di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan. Sekiranya keluarga mangsa membuat laporan polis, kami akan menahan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian./sinarharian

Jumaat, 1 Februari 2013

Ibu tunggal 9 anak dicekup bogel

BESUT: Usaha seorang wanita berusia 54 tahun bersembunyi di bawah katil untuk mengelak diberkas pasukan pencegah maksiat di sebuah rumah dekat Kampung Anak Musang, Jabi di sini, gagal apabila ditangkap dalam keadaan berbogel.

Wanita berstatus ibu tunggal yang dikatakan sudah mempunyai sembilan anak itu hanya menutup badannya dengan kain selimut ketika bersembunyi.

Sepasukan pegawai dan anggota Penguat kuasa Syariah Pejabat Agama Daerah Besut membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung itu jam 12.05 malam selepas mendapat maklumat orang ramai.

Pegawai Agama Daerah, Azmi Tengah berkata, ketika sampai di depan rumah, anggotanya mendapati pintu utama rumah tertutup rapat dan berkunci dari dalam.

Menurutnya, selepas dua minit diberi salam, seorang lelaki yang tidak berbaju dan berseluar hitam membuka pintu rumah.

“Dia memberitahu hanya seorang diri dalam rumah berkenaan tetapi pemeriksaan di dalam sebuah bilik, menemui wanita berkenaan sedang bersembunyi di bawah katil yang hanya menutup tubuhnya dengan kain selimut,” katanya.

Azmi berkata lagi, siasatan lanjut mendapati mereka bukan suami isteri atau muhrim.

Pasangan wanita itu seorang tukang rumah berusia 56 tahun seorang duda beralamat di Kampung Beting Lintang, manakala wanita berkenaan bekerja sebagai penoreh getah.

Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Besut dan kes disiasat di bawah Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzil) Terengganu 2001 kerana percubaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali./sinarharian

Khamis, 31 Januari 2013

Bayi lelaki di dalam beg pakaian


INILAH bayi yang ditemui di dalam beg pakaian dan ditinggalkan di luar sebuah warung di Sekinchan, Sabak Bernam semalam.
SABAK BERNAM: Seorang peniaga terkejut apabila menemui sebuah beg pakaian diisi dengan seorang bayi lelaki yang hidup ditinggalkan di luar warung miliknya di Parit 7, Sungai Leman, Sekinchan di sini semalam.


Khairuddin Hassan, 51, menjumpai bayi yang dibalut dengan kain batik tanpa dokumen ketika hendak membuka warung pada pukul 7 pagi.


Mengimbas penemuan itu, peniaga itu berkata, sebaik tiba di depan warung dia ternampak sebuah beg pakaian diletakkan di tepi meja sebelum membuka beg tersebut.


“Sebaik zip beg tersebut dibuka, saya terkejut apabila melihat ada seorang bayi dalam beg itu. Ketika itu, bayi terbabit masih tidur./kosmo

Rabu, 30 Januari 2013

Remaja 15 tahun rela 'diratah', bapa dakwa anaknya dirogol

IPOH: Seorang gadis berusia 15 tahun dipercayai merelakan tubuhnya diratah oleh sekumpulan enam lelaki di Taman Pancaran Siputih, Pusing dekat sini, antara kelmarin dan semalam.

Pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Simpang Pulai di sini, mendakwa melakukan hubungan seks bergilir-gilir dengan enam lelaki antara jam 11 malam Isnin lalu sehingga 3.30 petang keesokkannya sebelum dihantar pulang ke rumahnya.

Malah, gadis terbabit turut mengakui dia melakukan hubungan seks secara rela dan tiada unsur paksaan daripada lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, pihaknya ada menerima laporan yang dibuat bapa mangsa di Balai Polis Pusing berhubung insiden tersebut./sinarharian

Selasa, 8 Januari 2013

Pasangan mengaku ada anak hasil hubungan sulit

Pasangan mengaku ada anak hasil hubungan sulit
Anuar sedang menyoal siasat pasangan berkenaan.
KLUANG: Seorang wanita mengaku mempunyai seorang anak hasil hubungan sulit dengan pasangannya yang juga suami orang ketika ditahan dalam Operasi Cegah Maksiat di sekitar bandar Kluang, malam minggu lalu.

Wanita berusia 27 tahun itu ditahan oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) bersama pasangannya berusia 35 tahun dalam satu bilik di salah sebuah hotel bajet.

Malah, lelaki terbabit yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinannya mengaku dalam proses perceraian bersama isterinya.

Ketua Unit Penguatkuasa Agama Jaij daerah Kluang, Anuar Kosnin berkata, ketika serbuan dijalankan di hotel bajet itu, Jaij terpaksa menunggu 10 minit, sebelum pintu dibuka.

“Ketika soal siasat dijalankan, pasangan berkenaan memberi alasan mereka akan berkahwin dan menyewa hotel hanya sekadar untuk berjumpa, bagaimanapun mereka gagal untuk meyakinkan pihak Jaij dengan alasan yang diberi.

“Hasil pemeriksaan mendapati, wanita berkenaan telah melahirkan seorang anak yang kini berusia setahun hasil hubungan sulit bersama pasangannya itu,” katanya.

Anuar berkata, pasangan tersebut akan didakwa di bawah Sesyen 27, Enakmen Kesalahan Syariah Johor dan boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, operasi yang dijalankan bersama anggota Cawangan Penyiasatan Khas dari Kem Mahkota bermula jam 1 hingga 6 pagi itu turut menahan tiga pasangan berusia antara 19 hingga 35 tahun.

“Kesemua pasangan tersebut turut didakwa di bawah seksyen sama. Bagaimanapun, pasangan terbabit telah dibebaskan setelah dijamin oleh keluarga masing-masing, namun mereka dikehendaki datang ke Pejabat Agama Daerah Kluang esok (hari ini) untuk diambil keterangan,” katanya.

Anuar juga menyatakan bahawa operasi seumpama ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa untuk mencegah maksiat di daerah ini daripada terus berleluasa./sinarharian

Rabu, 2 Januari 2013

Wanita bersuami dua

Wanita dua suami
Wanita berkenaan pada mulanya enggan mengaku telah bernikah, namun akur setelah didesak pihak berkuasa. Doktor berkenaan diambil keterangan pegawai penguat kuasa Jaij
BATU PAHAT – Perbuatan wanita lewat 30-an yang dipercayai menduakan suaminya dengan menikahi lelaki lain, terbongkar apabila dokumen pernikahannya dengan doktor ditemui pihak berkuasa.

Bertindak hasil aduan orang ramai dan siasatan selama beberapa hari, serbuan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat dilakukan di sebuah vila semasa Operasi Ambang Tahun Baru, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Jaij Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, setelah menerima aduan, pihaknya melakukan semakan dengan pihak berkuasa di Thailand dan mendapatkan salinan dokumen pernikahan wanita terbabit.

Katanya, semasa serbuan dilakukan, pada mulanya wanita berkenaan enggan mengaku bernikah secara senyap di selatan Thailand bersama seorang lelaki berusia 40-an, yang turut berada di rumah berkenaan.

Mereka bernikah di Thailand Julai lalu.

“Kami berjaya mendapatkan salinan dokumen pernikahan mereka, namun serbuan dilakukan untuk mendapatkan salinan asal surat nikah berkenaan dan bukti yang lebih kukuh kami peroleh iaitu gambar pernikahan mereka.

“Begitu licik wanita ini. Setelah hampir satu jam kami mencari, namun dokumen berkenaan gagal kami temui. Bagaimanapun setelah didesak beberapa kali, akhirnya dia mengaku telah bernikah dan dokumen berkenaan disorok dalam kotak kasut yang diletakkan di bonet kereta.

“Kami difahamkan doktor yang menjadi ‘suami kedua’ diberitahu yang wanita terbabit sudah bercerai dengan suami pertamanya,” katanya.

Saiful berkata, kes seumpama itu kali pertama berlaku di daerah ini dan rumit diselesaikan kerana perlu dilakukan dengan teliti kerana banyak kesalahan dilakukan.

Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 27(1)(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan siasatan terperinci akan dilakukan berhubung perceraian yang didakwa oleh wanita terbabit dengan suami pertamanya.

“Saya harap kes seperti ini dijadikan iktibar dan jika ada kemusykilan terhadap nikah atau kahwin, orang ramai boleh buat rujukan kepada kami.

“Kami akan terus cari punca sebenar dan bantu selesaikannya kerana tidak boleh wanita mempunyai dua suami dalam satu-satu masa.

“Jika wanita ingin berkahwin lain, dia perlu melalui proses perceraian dengan suami terdahulu, namun ia juga perlu melalui hukum ditetapkan syarak,” katanya./sinarharian

Jumaat, 21 Disember 2012

Mayat bayi tanpa tangan

 
SEREMBAN – Manusia tidak berhati perut!

Itu yang boleh digambarkan terhadap individu yang sanggup membuang bayinya sendiri sehingga mati di Tapak Pelupusan Sampah Pajam di sini, kelmarin.

Lebih menyayat hati, mayat bayi yang ditemui oleh salah seorang pekerja di situ dalam keadaan pergelangan tangan kanannya putus.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, bayi yang dipercayai berusia seminggu dan mempunyai anggaran berat dua kilogram itu, dijumpai kira-kira jam 3 petang di dalam longgokan sampah di kawasan berkenaan.

Katanya, kejadian disedari oleh salah seorang pekerja yang ketika itu sedang membersihkan kawasan pelupusan sampah berkenaan.

“Kita percaya bayi tersebut telah dibuang ke dalam tong sampah di suatu kawasan lain, dan kemudian baru ditemui di tempat pelupusan sampah ini.

“Hasil bedah siasat yang dilakukan kita tidak mengetahui punca sebenar kematian kerana ianya tidak berjaya ditemui.

“Begitu pun kes akan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.

Sementara itu, menurut saksi kejadian, Fauzi Tukijo, 45, pada mulanya dia menyangka bahawa bayi tersebut adalah anak patung.

Namun, apabila dia meneliti bungkusan tersebut, rupa-rupanya adalah mayat seorang bayi.

“Semasa sedang meratakan kawasan pelupusan sampah ini dengan menggunakan jentolak, tiba-tiba jentolak itu tidak bergerak.

“Lalu saya melihat di bahagian bawah dan mendapati sebuah bungkusan yang dibaluti dengan kemeja hitam berada di bawah jentolak tersebut.

“Sebaik sahaja membuka bungkusan itu, saya amat terkejut melihat seorang bayi perempuan yang cukup sifat tidak bernyawa lagi dan segera mengalihkannya sebelum menghubungi polis,” katanya./sinarharian

Jumaat, 14 Disember 2012

Remaja perempuan mengaku tidak bersalah sebabkan kematian bayi

KANGAR: Seorang remaja perempuan hari ini dihadapkan ke mahkamah majistret Kangar atas tuduhan menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkannya pada 24 Okt lalu.

Bagaimanapun remaja berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu antara jam 12.30 tengah hari dan 5.30 petang di dalam tandas di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Padang Benta dekat sini.
Remaja itu dituduh mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan itu dan boleh dihukum mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Remaja yang berbaju kurung berwarna merah putih dan bertudung merah yang diwakili peguam Pyara Singh itu memohon dibicarakan dan timbalan pendakwa raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun majistret Zuhair Rosli memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin sama ada ibu atau bapanya dan menetapkan 6 Feb 2013 sebagai sebutan pengurusan kes.

Remaja itu kemudiannya dibawa ke sebuah pusat tahanan di Kedah sementara menunggu jaminan itu./Bernama

Rabu, 5 Disember 2012

Sorok mayat bayi dalam almari

 Ghuzlan Saleh
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh
KULIM: Cubaan seorang gadis berusia 20 tahun merahsiakan kelahiran bayinya terbongkar apabila bapanya menemui mayat bayi yang siap dibungkus di dalam almari pakaian anaknya di rumahnya di sebuah perumahan di sini, semalam.

Sebelum itu, bapa gadis berkenaan membawa anaknya berjumpa doktor di sebuah klinik di sini, untuk mendapatkan rawatan selepas anaknya mengadu sakit perut kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Pada keesokan harinya, ibu gadis terbabit yang sedang mengemas dapur terjumpa satu objek dipenuhi darah yang diletakkan di dalam plastik dan dia segera memaklumkan penemuan objek itu kepada suaminya.

Untuk mendapatkan kepastian tentang penyakit dialami anaknya, bapa gadis berkenaan membawa bungkusan plastik mengandungi objek itu ke klinik di mana anaknya mendapatkan rawatan, memangkan semasa anaknya berjumpa doktor dia hanya menunggu di luar.

Rahsia mula terbongkar apabila doktor memaklumkan objek berkenaan merupakan uri wanita yang baru bersalin dan menasihatkannya untuk membawa anaknya mendapatkan rawatan di hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, doktor yang merawat suspek di hospital mengesahkan suspek bersalin dan bayinya meninggal dunia.

“Bapa suspek meminta suspek menunjukkan lokasi di mana mayat bayi dimaksudkan itu disembunyikan dan menemuinya di dalam almari pakaian di bilik suspek.

Mayat bayi itu kemudiannya dibawa ke hospital untuk bedah siasat dan doktor mengesahkan bayi itu meninggal dunia sebelum dilahirkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran./sinarharian

Sabtu, 27 Oktober 2012

Buang bayi ke tali air, polis tahan ibubapa gadis

Polis menahan ibu bapa gadis berusia 17 tahun yang dipercayai membuang bayi yang baru dilahirkannya ke dalam tali air kelmarin, bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis Supt Mohd Nashir Ya berkata pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an itu ditahan jam 9.47 malam kelmarin.

Setakat ini polis telah menahan enam orang bagi membantu siasatan kes tersebut, katanya kepada pemberita semalam.

Awal pagi semalam, polis menemui mayat bayi perempuan baru dilahirkan dalam sebatang tali air di Kampung Behor Rotan Pahit, Simpang Empat selepas menerima laporan pegawai perubatan Hospital Tuanku Fauziah.

Pegawai perubatan itu membuat laporan polis selepas mengesyaki pendarahan yang dialami seorang pelajar perempuan yang dirujuk ke hospital itu pada jam 9.20 malam Rabu, disebabkan komplikasi bersalin.

Hasil siasatan, gadis itu mengakui melahirkan bayi perempuan yang kemudian dibuang ke dalam tali air tersebut.

Susulan penemuan mayat bayi itu, polis menahan empat individu termasuk teman lelaki dan abang gadis berkenaan./Bernama

Isnin, 22 Oktober 2012

Buat maksiat di hotel bajet

Buat maksiat di hotel bajet
Pegawai Penguat Kuasa Syariah Dungun merampas sehelai seluar dalam milik pasangan terbabit untuk dijadikan bahan bukti kes selepas menahan pasangan berkenaan pagi kelmarin.
DUNGUN: Keghairahan seorang pelajar kolej untuk pulang bercuti ke kampung bersama teman lelaki bertukar detik hitam apabila dia dicekup pihak berkuasa ketika berada di sebuah bilik di hotel bajet, dekat sini, pagi kelmarin.

Pelajar terbabit, 20, yang sedang menuntut di sebuah kolej swasta di Kota Bharu, Kelantan dikatakan baru menamatkan peperiksaan akhir dan datang ke bandar ini untuk menemui teman lelakinya sebelum bercadang pulang bersama ke kampung halamannya di Temerloh, Pahang.

Bagaimanapun, pelajar jurusan diploma sains itu tidak terus pulang ke kampung, sebaliknya mengambil kesempatan melepaskan rindu di sebuah bilik hotel yang disewa teman lelakinya, seorang pemandu ekskubator.

Perbuatan tidak bermoral pelajar berasal dari Kampung Ulu Jenut, Kuala Krau, Temerloh itu bagaimanapun menjerat dirinya sendiri setelah bilik penginapannya diserbu pihak Pegawai Penguat kuasa Syariah kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.

Selepas pintu dibuka oleh teman lelakinya, pelajar berkenaan difahamkan hanya bertuala dengan memakai baju sendat ketat tanpa pakaian dalam manakala teman lelakinya, 21 tahun, dalam keadaan separuh bogel.

Siasatan awal mendapati pasangan itu tidak mempunyai hubungan muhrim.

Kesemua seluar, baju dan pakaian dalam milik pasangan terbabit turut dirampas sebagai bahan bukti.

Pasangan itu bakal dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah 19 November nanti mengikut Seksyen 29(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 atas kesalahan perbuatan sebagai persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali./sinarharian