Polis menahan ibu bapa gadis berusia 17 tahun yang dipercayai membuang bayi yang baru dilahirkannya ke dalam tali air kelmarin, bagi membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis Supt Mohd Nashir Ya berkata pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an itu ditahan jam 9.47 malam kelmarin.
Setakat ini polis telah menahan enam orang bagi membantu siasatan kes tersebut, katanya kepada pemberita semalam.
Awal pagi semalam, polis menemui mayat bayi perempuan baru dilahirkan dalam sebatang tali air di Kampung Behor Rotan Pahit, Simpang Empat selepas menerima laporan pegawai perubatan Hospital Tuanku Fauziah.
Pegawai perubatan itu membuat laporan polis selepas mengesyaki pendarahan yang dialami seorang pelajar perempuan yang dirujuk ke hospital itu pada jam 9.20 malam Rabu, disebabkan komplikasi bersalin.
Hasil siasatan, gadis itu mengakui melahirkan bayi perempuan yang kemudian dibuang ke dalam tali air tersebut.
Susulan penemuan mayat bayi itu, polis menahan empat individu termasuk teman lelaki dan abang gadis berkenaan./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan