Memaparkan catatan dengan label Judi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Judi. Papar semua catatan

Jumaat, 26 Ogos 2011

Berjudi sambil minum air

JEMPOL: Tindakan sekumpulan lelaki berjudi sambil bersantai minum air dekat sebuah bangsal belakang rumah di Felda Palong membawa padah apabila mereka dicekup dalam satu serbuan pada 23 Ogos lalu.

Serbuan kira-kira jam 4 petang itu, polis turut merampas daun terup dan wang tunai dipercayai digunakan sebagai wang taruhan perjudian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Sabri Mohamad berkata, kesemua suspek yang menetap di Felda berkenaan berusia 46 hingga 65 tahun.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, tujuh suspek itu dikatakan tidak menyedari kehadiran pihak polis kerana terlalu leka berjudi.

“Suspek juga menyangka kedatangan sekumpulan lelaki berpakaian biasa itu (polis) hanya bertujuan mengutip hutang.

“Setelah memperkenalkan diri, barulah semuanya sedar dan tidak sempat melarikan diri kerana telah dikepong,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Mohd Sabri berkata, serbuan dibuat hasil maklumat awam bahawa segelintir penduduk kawasan itu terlibat dalam aktiviti perjudian.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara selama enam bulan sehingga dua tahun,” katanya.

Beliau turut menyeru orang awam untuk melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung kegiatan haram itu.

“Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kes jenayah diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol menerusi talian 06-4582222 atau balai polis terdekat,” katanya./sinarharian

Rabu, 1 Disember 2010

Judi: Dua pasangan suami-isteri antara 10 ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan 10 orang termasuk dua pasangan suami isteri ketika mereka sedang asyik bermain judi menggunakan komputer, dalam satu operasi di sebuah premis di Jalan Sentul Pasar berhampiran sebuah sekolah di sini petang ini.

Pegawai Turus Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibupejabat Polis Bukit Aman ASP Khairi Anuar Rosli berkata, mereka yang ditahan dalam serbuan pukul 1.30 petang itu terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita, berumur lingkungan 20-an hingga 60-an.

"Polis turut menyoal siasat dua pekerja lelaki premis itu yang berumur lingkungan 20-an. Selain itu 44 komputer bernilai RM50,000 serta wang tunai RM 1,000 turut dirampas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati premis yang tidak memiliki sebarang lesen perniagaan yang sah itu baru sebulan beroperasi dan bagi mengaburi pihak berkuasa, pintu depan premis itu sentiasa ditutup, dan pelanggan memasuki ke premis berkenaan melalui pintu belakang.

Menurutnya, di samping itu kamera litar tertutup ditempatkan di pintu belakang bagi mengawasi pelanggan yang datang.

Khairi berkata semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin judi atau penjara sehingga lima tahun./Bernama