Rabu, 1 Disember 2010

Judi: Dua pasangan suami-isteri antara 10 ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan 10 orang termasuk dua pasangan suami isteri ketika mereka sedang asyik bermain judi menggunakan komputer, dalam satu operasi di sebuah premis di Jalan Sentul Pasar berhampiran sebuah sekolah di sini petang ini.

Pegawai Turus Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibupejabat Polis Bukit Aman ASP Khairi Anuar Rosli berkata, mereka yang ditahan dalam serbuan pukul 1.30 petang itu terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita, berumur lingkungan 20-an hingga 60-an.

"Polis turut menyoal siasat dua pekerja lelaki premis itu yang berumur lingkungan 20-an. Selain itu 44 komputer bernilai RM50,000 serta wang tunai RM 1,000 turut dirampas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati premis yang tidak memiliki sebarang lesen perniagaan yang sah itu baru sebulan beroperasi dan bagi mengaburi pihak berkuasa, pintu depan premis itu sentiasa ditutup, dan pelanggan memasuki ke premis berkenaan melalui pintu belakang.

Menurutnya, di samping itu kamera litar tertutup ditempatkan di pintu belakang bagi mengawasi pelanggan yang datang.

Khairi berkata semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin judi atau penjara sehingga lima tahun./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan