KUANTAN: Polis menahan empat individu, dua daripadanya wanita dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran, bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang sub-kontraktor di Lorong Sekilau 34, Bukit Sekilau di sini, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata empat individu itu termasuk seorang lelaki berusia 25 tahun dari Felda Lepar Hilir Dua, di sini, yang menemui mayat mangsa, Chan Kin Wai, 45, dengan kesan tetakan di rumahnya.
"Seorang lagi lelaki berusia 29 tahun berasal dari Kampung Masjid, Pekan selain dua wanita masing-masing berusia 25 tahun dipercayai pelacur," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata mangsa dipercayai mendapatkan khidmat seks sebelum kejadian namun seorang daripada wanita terbabit bertindak mencuri wang miliknya menyebabkan mangsa memukul wanita itu.
Katanya wanita itu kemudian menghubungi seorang lelaki dikenali sebagai "Black" yang kemudian tiba lalu menyerang mangsa dengan parang.
Polis kini sedang mengesan Black atau nama sebenarnya, Mohamad Husin Mat Sib, 25, beralamat di 204-17-2, Sri Saujana Condo, Jalan Bandar Dalam, Sentul Kuala Lumpur bagi membantu siasatan, kata Narenasagaran.
Polis mendapati Black mempunyai rekod jenayah lampau iaitu kes jenayah memiliki dan penyalahgunaan dadah serta rogol./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan