Ahad, 12 Disember 2010

Seorang wanita dan kekasihnya ditahan kerana disyaki memukul suami sendiri

KUALA LUMPUR, 11 Dis: Angkara cinta tiga segi, seorang isteri sanggup merancang dengan kekasihnya melarikan diri dan memukul suaminya, anggota polis sehingga mangsa cedera parah dan hampir hilang ingatan.

Mangsa yang dikenali sebagai Raj dan berpangkat lans koperal sebelum itu dilaporkan hilang oleh isterinya sejak sebulan lalu.

Raj bagaimanapun dikesan berada di Hospital Slim River, Perak, kelmarin, setelah mula sedarkan diri dan boleh bercakap.

Ketika dihantar ke hospital itu pada 11 November lalu, mangsa yang bertugas di Balai Polis Rawang cedera di kaki dan kepala akibat dipukul dengan objek keras selain tidak sedarkan diri.

Polis percaya mangsa yang berusia lingkungan 20 tahun itu telah ditinggalkan isterinya dan kekasih wanita terbabit di wad kecemasan hospital tersebut.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah berkata, siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu telah dilarikan oleh pasangan tersebut.

“Selepas kehilangan mangsa, isterinya bertindak membuat laporan polis bagi mengaburi pihak berkuasa dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.

“Bagaimanapun beberapa hari selepas kejadian, abang mangsa menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki memaklumkan mangsa bersamanya,” katanya di sini hari ini.

Menurut Omar, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu berlaku akibat rasa tidak puas hati suspek lelaki terhadap mangsa kerana berkahwin dengan kekasihnya.

“Bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan kekasih isteri mangsa pada pukul 9 malam semalam di kawasan Kuala Kubu Bharu bagi membantu siasatan.

“Dua jam selepas penahanan lelaki itu, polis seterusnya menahan pula isteri mangsa pada pukul 11 malam di sebuah stesen bas di Rawang,” ujar beliau.

Difahamkan, hasil soal siasat dijalankan mendapati, suspek lelaki yang berusia awal 20-an itu mendakwa melakukan perbuatan tersebut bersama isteri mangsa.

Menurut Omar, polis turut merampas telefon bimbit dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik mangsa untuk siasatan lanjut.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 17 Disember ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah,” ujar beliau./utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan