Khamis, 30 Disember 2010

Lelaki dikehendaki polis

BATU PAHAT: Seorang lelaki dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung dengan kes penipuan yang melibatkan dua keping cek palsu yang setiap satunya bernilai RM200,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Adnan Azizon berkata, kejadian berkenaan berlaku apabila seorang wanita yang merupakan kakitangan sebuah syarikat telah diarahkan oleh pegawai sebuah bank tempatan untuk membuat pengesahan ke atas dua keping cek yang telah didepositkan seorang lelaki.

Menurutnya, pada jam 7.15 malam, 8 Disember lalu, wanita tersebut telah dihubungi pegawai bank berkenaan untuk membuat pengesahan terhadap kedua-dua keping cek terbabit setelah mendapati ada keraguan.

“Setelah membuat semakan dengan syarikat berkenaan, pegawai bank terbabit mendapati kedua-dua cek yang mempunyai nombor siri 145060 dan 145061 masih lagi berada dalam simpanan syarikat berkenaan.

“Dan pada jam 3.33 petang, 22 Disember lalu, wanita berkenaan membuat laporan polis kerana mengesyaki kedua-dua cek itu dipalsukan oleh lelaki yang cuba menggunakannya,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.

Adnan berkata, berikutan laporan berkenaan, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan kes ini dikendalikan oleh Inspektor Annasmahyudin Abdul Wahab.

Menurutnya, hasil siasatan, seorang lelaki dikehendaki polis untuk membantu siasatan.

Lelaki itu dikenali sebagai Chan Soon Sin, 38, dan alamat terakhir mengikut kad pengenalannya ialah di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Ibupejabat Polis Daerah Batu Pahat di talian 07- 4341222.

“Begitu juga dengan mereka yang mengenali lelaki yang sememangnya dikehendaki ini dan boleh berhubung dengan kami atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan