JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan hampir maut selepas ditetak bertubi-tubi dengan parang oleh 12 lelaki menyebabkan kepalanya menerima enam jahitan selain cedera di dagu, pergelangan tangan dan jari terbelah serta hampir putus.
Mangsa, S Segaran, 35, berkata, dia sedang makan malam bersama seorang rakan sekerja di kawasan perindustrian Taman Kota, Masai, Ahad lalu sebelum sekumpulan lelaki menaiki enam motosikal meluru ke arahnya sambil menghunus parang.
Katanya, kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu berlaku di depan orang ramai yang tidak mampu berbuat apa-apa kerana bimbang turut diserang kumpulan lelaki dipercayai berusia antara 25 dan 35 tahun.
“Sekumpulan lelaki menaiki enam motosikal berhenti di depan kedai sebelum meluru ke arah saya sambil melibas parang.
“Semua 12 lelaki yang memakai topi keledar tidak berkata apa-apa, sebaliknya terus membelasah dan melibas parang ke arah saya sebelum tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Pakar Puteri di sini, semalam.
Katanya, dia mendakwa mengecam dua suspek berkenaan yang sebelum ini ditahan kerana memecah masuk sebuah kilang untuk mencuri aluminium tahan karat dan skru.
“Ketika di Balai Polis Seri Alam, suspek mengancam akan ‘mengajar’ saya dengan berkata ‘kau tunggu nanti ada masa kita sampai mahu ajar sikit’.
“Selepas itu, konco-konconya datang mengugut dan saya menyerahkan RM500 sebagai wang perlindungan untuk tidak diapa-apakan, tetapi dua bulan selepas itu saya diserang,” katanya.
Isteri mangsa, L Indrani, 30, berkata dia terperanjat ketika dimaklumkan mengenai suaminya yang berlumuran darah dan pengsan.
Katanya, dia kecewa kerana semua suspek masih bebas sedangkan dia kini hidup dalam ketakutan bersama dua anak yang masih kecil.
Menurutnya, selepas suaminya dihantar ke Wad Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) tengah malam hari kejadian, suaminya tidak diberikan sebarang ubat dan suntikan hingga jam 10.30 pagi pada keesokan hari.
Katanya, pegawai perubatan memberitahu giliran suami adalah ke-85 dan baru tiga pesakit menjalani pembedahan, tetapi jika mahu rawatan segera suaminya perlu dirujuk ke hospital swasta.
“Apabila saya mahu menukarkannya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), pegawai berkenaan berkata hospital itu turut penuh dan jika mahu cepat perlu ke hospital swasta.
“Saya sedih kerana suami yang cedera parah tidak diberi sebarang ubat atau suntikan dan apabila dimasukkan ke hospital swasta, doktor di situ berkata jika lewat dua jam, suami akan kudung,” katanya.
Ahli Lembaga Pelawat Hospital HSI, Chen Boon Ping berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan itu sebelum mengambil tindakan./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan