KUALA LUMPUR: Ketika pelajar lain sibuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dua pelajar sebaliknya mencuri dan melapah motosikal di hadapan rumah.
Dalam kejadian jam 9.30 malam kelmarin, dua pelajar berusia 17 tahun terbabit meleraikan motosikal Honda EX 5 yang dicuri bersama tiga ahli geng lain di beranda rumahnya di Kampung Kuantan, Setapak di sini.
Sumber polis berkata, tindakan suspek memisahkan komponen motosikal di pekarangan rumah berkenaan menarik perhatian beberapa jiran berhampiran untuk menghubung polis.
Menurutnya, susulan itu, sepasukan empat anggota dari Balai Polis Sentul bergegas ke tempat kejadian sebelum melihat kelibat beberapa remaja mengerumuni sebuah motosikal.
“Selepas yakin kumpulan remaja belasan tahun terbabit menceraikan komponen motosikal curi itu, anggota polis menyerbu kawasan berkenaan sebelum menahan semua remaja terbabit.
“Kehadiran mendadak anggota polis menyebabkan kumpulan remaja itu tidak sempat melarikan diri sebelum diberkas dan digari,” katanya.
Katanya, siasatan mendapati dua suspek berusia 17 tahun dan dua lagi yang berusia 16 tahun terbabit aktif melakukan jenayah curi motosikal di daerah Sentul sebelum motosikal dicuri itu dibawa pulang ke rumah seorang suspek untuk dileraikan.
“Polis percaya, komponen motosikal seperti enjin, tayar, brek dan bahagian lain sengaja diceraikan sebelum dijual kepada pihak tertentu.
“Semua suspek yang diberkas itu dibawa ke Balai Polis Setapak untuk diambil keterangan sebelum dihantar ke lokap polis Bukit Jalil dan direman sehingga lusa,” katanya.
Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan kumpulan remaja curi motosikal terbabit pernah melakukan kes curi membabitkan berpuluh motosikal.
“Polis kini mencari lokasi rangka motosikal curi terbabit dibuang suspek selepas komponen yang diinginkan diambil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang dihubungi wartawan Harian Metro mengesahkan menerima laporan berhubung tangkapan remaja terbabit./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan