Rabu, 29 Disember 2010

Lima Penuntut IPTS Ditahan Terlibat Dadah

KEMAMAN: Lima penuntut Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) merupakan antara 87 yang ditahan kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah, pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd Wahid berkata mereka ditahan dalam Ops Tapis Bersepadu yang dijalankan di sekitar daerah ini, bermula awal pagi Selasa.

Katanya empat daripada mahasiswa itu ditahan ketika berada di rumah sewa mereka di sini, manakala seorang lagi ditahan berasingan didapati positif semasa ujian saringan air kencing.

Kelima-lima mereka yang berumur awal 20-an menuntut di IPTS di sini, katanya kepada Bernama, di sini.

Roslan berkata sasaran operasi ditumpukan kepada usaha menangkap suspek dan remaja yang terbabit dengan dadah menerusi pemeriksaan dari rumah ke rumah dikawasan tumpuan jenayah indeks.

Kesemua 87 suspek positif dadah berumur antara 17 hingga 44 tahun kini ditahan reman untuk siasatan lanjut, katanya.

Seramai 85 daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta DadahBerbahaya 1952 dan dua kes mengikut Seksyen 12(2) akta sama.

Operasi disertai 69 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dengan diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, DSP Amran Ramli./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan