KANGAR: Seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini maut dalam usahanya mengejar peragut yang dikatakan cuba meragut rantai leher perak milik adiknya di Km 10, Jalan Kaki Bukit di Beseri dekat sini malam tadi.
Nur Syaza Yasmin Ruslan, 17, yang mengejar peragut dengan motosikal meninggal di tempat kejadian apabila motosikalnya dikatakan bergesel dengan motosikal peragut sebelum mangsa terpelanting di atas jalan raya dan dilanggar pula oleh sebuah kereta dalam kejadian kira-kira 8 malam itu.
Adiknya, Nur Syaza Naurah, 15, yang membonceng motosikal itu menceritakan kejadian tersebut bermula ketika mereka baru sahaja mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Balai Baru apabila dihampiri oleh seorang penunggang motosikal yang bertanyakan sesuatu tetapi mereka tidak mengendahkanya.
"Pada masa yang sama lelaki itu cuba meragut rantai leher saya tetapi gagal kerana saya sempat menepis tangannya,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Keteri.
Dia berkata kakaknya yang naik berang telah mengejar motosikal peragut itu bagi mendapatkan nombor pendaftaran motosikal tersebut.
Namun motosikal yang mereka naiki hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya selepas berselisih dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.
Menurutnya, selepas terjatuh dia sempat bangun menyelamatkan diri tetapi kakaknya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan dilanggar pula oleh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah belakang menyebabkan dia meninggal serta merta di tempat kejadian.
Mayat Nur Syaza Yasmin dibawa ke Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Keteri sebelum solat Jumaat.
Pegawai Turus Trafik Perlis, ASP Rosli Yahaya berkata pihaknya telah menahan dua pemandu kenderaan terbabit.
"Kedua-dua pemandu berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun. Salah seorangnya adalah pemandu yang kenderaannya berselisih dengan motosikal mangsa manakala sorang lagi yang melanggar mangsa,” katanya.
Beliau juga berkata polis masih belum pasti sama ada kes tersebut membabitkan kes ragut tetapi masa masa ini kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Lelaki yang dikatakan peragut itu belum dapat dikesan./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan