JASIN: Tanda tanya mengenai seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang ‘menyepikan diri’ selama dua hari terjawab selepas mayatnya ditemui di rumah sewanya di Taman Muhibbah, Merlimau, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, mayat S Pannir Selvan, 22, ditemui tergantung pada kipas siling oleh bapa saudaranya yang pergi ke rumah sewa mangsa.
Difahamkan, bapa saudara mangsa pergi ke rumah berkenaan untuk mencarinya selepas dua hari tidak melihatnya.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian tidak membabitkan unsur jenayah dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Pemeriksaan polis pada badan dan rumah sewa lelaki itu juga tidak menemui kesan jenayah,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, Pannir Selvan tinggal menyewa di situ bersama lima lagi rakannya dan ketika kejadian, hanya dia berada di rumah berkenaan kerana teman serumahnya pulang bercuti ke kampung masing-masing.
Menurutnya, hasil bedah siasat pihak hospital mendapati mangsa mati akibat menggantung diri dan motif kejadian masih dalam siasatan./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan