Selasa, 24 Mei 2011

Lesap penangan cinta Usama

BATU PAHAT: Baru dua bulan berkenalan, seorang gadis, Siti Zubaidah Saari, 25, dikatakan menjadi isteri ketiga seorang guru tahfiz digelar Usama, sehingga dia sanggup memutuskan hubungan dengan ibu bapanya di Taman Intan, Kluang, sejak mereka berkenalan.

Zubaidah dipercayai berkahwin dengan lelaki itu di Thailand awal April lalu.

Bapanya, Saari Sulaiman, 56, berkata, dia dan isteri, Norpah Amri, 50, sudah puas berusaha mengesannya sejak dua bulan lalu tetapi hampa.

“Zubaidah tinggal di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan mula bekerja di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Jalan Sulaiman selepas menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah, dua tahun lalu. “Kami hanya mengetahui Zubaidah berkenalan dengan Usama atau nama sebenarnya Almizi, dua bulan lalu. “Saya turut mendapat maklumat ustaz berkenaan didakwa membawa Zubaidah ke Cameron Highlands selama beberapa hari sebelum ke Thailand untuk bernikah,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro di sini, semalam.

Menurut Saari, apa yang tidak disenanginya serta isteri, ustaz terbabit yang mengajar di sebuah pusat tahfiz di Johor Bahru dikatakan beristeri dua selain mempunyai lima anak.

Pada masa sama, selepas berkenalan dengan lelaki itu, Saari mendakwa anak keempat daripada sembilan beradik itu tidak lagi menghubungi mereka.

“Kami menghubungi Zubaidah berkali-kali tetapi hampa, dia bukan saja tidak menjawab panggilan, malah telefon bimbit dimatikan.

“Kami bimbang berlaku perkara tidak diingini kepada Zubaidah memandangkan sebelum ini dia tidak pernah gagal menghubungi kami bertanyakan khabar. “Perangainya berubah selepas berkenalan dengan ustaz itu,” katanya.

Saari yang tidak mengetahui bagaimana Zubaidah berkenalan dengan lelaki terbabit berkata, adiknya yang tinggal di Johor Bahru, Mohd Said, 53, memaklumkan lelaki itu membawa Zubaidah ke bandar raya berkenaan menaiki kereta pada 5 April lalu.

Bagaimanapun, adiknya itu gagal menjejaki kedua-duanya dan sejak itu, Zubaidah terus tidak dapat dikesan.

Berikutan itu, Saari membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada 26 April lalu.

“Kami harap Usama mengembalikan Zubaidah kepada kami dan sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki terbabit atau anak kami, menghubungi talian 012-7486164,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis IPD Kluang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berkenaan dan kes masih dalam siasatan./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan