Sabtu, 28 Mei 2011

Hukuman penjara, sebat drebas bas ditambah

MELAKA: Seorang pemandu bas sekolah terpaksa meringkuk lebih lama dalam penjara apabila Mahkamah Tinggi, di sini, semalam menambah hukuman terhadapnya kepada 14 tahun dan 14 sebatan atas kesalahan merogol seorang murid tingkatan satu, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan demikian ketika membenarkan rayuan pihak Timbalan Pendakwa Raya (responden) yang merayu terhadap keputusan hukuman diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen, Elesabeth Paya Wan bertarikh 21 Julai 2010 terhadap Ibrahim Sali, 26, iaitu penjara tujuh tahun dan tiga sebatan.

Beliau menegaskan mahkamah bersetuju hujahan Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin bahawa kesalahan dilakukan perayu amat serius, merogol murid perempuan berusia 13 tahun sembilan bulan ketika kejadian di dalam bas sekolah.

“Selepas mendengar rayuan perayu dan hujah pendakwa raya, saya berpendapat hukuman yang sepatutnya adalah penjara 14 tahun dan 14 sebatan.

“Kamu sebagai pemandu sepatutnya diamanahkan mengambil anak murid dan menghantar ke sekolah dengan selamat, namun sebaliknya terjadi apabila mengambil kesempatan merogol mangsa dalam bas sekolah,” katanya yang turut menolak rayuan terhadap sabitan pada prosiding rayuan silang itu.

Terdahulu, perayu melalui peguam Yaackub Mat yang menyebut bagi peguam Shaari Nor memohon mahkamah mengenepikan keputusan sabitan itu dengan menghujahkan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkilaf untuk menimbangkan beberapa fakta antara lain berkaitan pertuduhan cacat atau defektif./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan