Khamis, 12 Mei 2011

Rogol cucu: Lelaki 89 tahun dibenar ikat jamin

KOTA BHARU, 10 Mei: Seorang datuk berusia 89 tahun yang menghadapi tuduhan merogol cucunya berumur 10 tahun dalam sebuah kandang lembu pada tahun lalu, hari ini dibebaskan dengan jaminan RM8,000 beserta seorang penjamin.

Mahkamah Sesyen di sini membenarkan warga emas tersebut diikat jamin setelah tertuduh berjaya melantik peguam Mohd. Marwalis Mahmud mewakilinya.

Wang jaminan tertuduh dibayar oleh anak lelaki bongsunya daripada tujuh beradik.

Mahkamah sebelum ini telah menangguhkan dua kali perbicaraan kes tersebut berikutan kegagalan tertuduh melantik peguam bela. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari.

Tertuduh yang berbaju T warna merah dan berseluar kelabu, dilihat hanya mendiamkan diri apabila Hakim Rofiah Mohamed membacakan beberapa syarat jaminan yang perlu dipatuhi tertuduh sebelum menetapkan tarikh perbicaraan pada 5 Julai ini.

Antara syarat itu ialah tertuduh dilarang menghampiri mangsa dalam jarak 500 meter, melaporkan diri di balai polis berhampiran tempat tinggalnya iaitu di Pasir Mas setiap Ahad pertama setiap bulan dan tidak tinggal di rumah ibu bapa mangsa.

Tertuduh didakwa merogol cucunya itu dalam kandang lembu berhampiran sebuah rumah tanpa nombor di Pasir Puteh di sini kira-kira pukul 9 malam, 25 Ogos tahun lalu.

Tertuduh yang ditangkap pada 15 September 2010 sebelum dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali pada 10 Februari lalu.

Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan sehingga 10 kali./utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan