JOHOR BAHRU: Nasib seorang balu umpama jatuh ditimpa tangga kerana kurang setahun selepas kehilangan suami yang mati ditembak di depan kediaman sendiri di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, Oktober lalu, dia sekeluarga kini mendakwa sering diancam seorang lelaki, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan suaminya.
T Jaya, 37, berkata, baru-baru ini lelaki berkenaan sekali lagi mengancam nyawanya serta tiga anak jika dia cuba mencari keadilan untuk mendiang suami, G Tamil Selvam.
“Pada masa sama, lelaki terbabit turut mengugut mahu merogol saya sekiranya saya tidak mengikut arahannya.
“Kami bimbang kerana dia akan datang ke rumah sesuka hati,” katanya, semalam.
Dalam kejadian jam 9.45 malam, 15 Oktober 2010, Tamil Selvam ditembak dari jarak kira-kira satu meter. Suspek dikatakan berjalan kaki ke rumah mangsa sebelum menyuruh anak lelakinya memanggil Selvam keluar dengan alasan kononnya mahu berjumpa.
Mangsa mati di tempat kejadian manakala suspek pula pergi seperti tiada apa yang berlaku.
Menurut Jaya, kelmarin, lelaki terbabit datang ke kediamannya untuk membuat kecoh dan dalam kejadian berkenaan, seorang anaknya cedera di kaki akibat terkena pasu bunga ketika dia memaksa bekas suspek itu keluar.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, Jaya berkata, lelaki terbabit datang bersama dua rakan sambil membawa parang.
“Bimbang dengan keselamatan keluarga, saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, pihaknya sedang memburu suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan