SEGAMAT: “Saya punya sukalah,” itu jawapan diberikan seorang ibu yang didakwa melakukan penderaan fizikal terhadap dua anak perempuan tirinya di rumahnya di Pekan Labis, di sini, sejak beberapa bulan lalu.
Wanita terbabit didakwa menyucuk dawai panas di pipi, memukul, mencubit dan menendang bahagian sulit dua anak perempuan tirinya itu tanpa belas kasihan.
Akibatnya, seorang daripada mangsa yang berusia sembilan tahun cedera di bahagian alat sulit akibat ditendang.
Tragedi menimpa dua beradik berumur sembilan dan 11 tahun itu disedari bapa saudara mereka, K Muthu, 55, selepas kedua-duanya datang menemuinya dan mengadu didera, 30 April lalu.
Menurut Muthu yang juga seorang kontraktor, anak saudaranya turut mengadu dipukul tiga beradik tiri mereka.
“Saya terkejut apabila kedua-duanya datang menemui saya dan mengadu dipukul serta didera bukan saja oleh ibu tiri, malah tiga beradik tiri yang berumur 13 hingga 19 tahun sejak beberapa bulan lalu.
“Saya yang geram dengan perkara itu berjumpa ibu tiri mereka dan selepas ditanyakan mengapa dia mendera anak saudara saya, wanita terbabit menjawab ‘Saya punya sukalah’,” katanya, semalam.
Bengang dengan kejadian terbabit, Muthu membuat laporan di Balai Polis Labis pada Selasa lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Majid Mohd Ali mengesahkan menerima laporan kes terbabit.
“Belum ada tangkapan dibuat setakat ini dan kes masih disiasat. Kami juga menunggu laporan perubatan dua kanak-kanak berkenaan,” katanya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan