Isnin, 16 Mei 2011

Gambar jadi bukti sokongan

TAIPING: Gambar yang berjaya dirakam seorang pelajar dipercayai dapat dijadikan bukti sokongan terhadap pembelaan seorang pelajar Tingkatan Dua yang pengsan akibat dipukul. 

Pelajar lelaki sebuah sekolah, di sini pengsan dipercayai dipukul sekumpulan pelajar sekolah ketika ingin menaiki bas. 

Penasihat Pengguna, Dr Billy Toh (gambar) berkata, meskipun kes berkenaan masih dalam siasatan polis, pihaknya cuba untuk membantu mencari bukti dan saksi kejadian. 

Menurutnya, dua saksi yang melihat kejadian telah ditemui, salah seorangnya berjaya merakam gambar salah seorang ahli kumpulan berkenaan. 

"Daripada maklumat saksi pertama yang kita peroleh, dia ternampak sekumpulan empat hingga lima pelajar memukul seorang pelajar lain menggunakan topi keledar, besi dan kayu panjang," katanya kepada Sinar Harian. 

Dr Billy berkata, saksi pertama ketika kejadian sedang membeli minuman di salah sebuah kedai penjaja dan kebetulan mengenali salah seorang pelajar berkenaan yang dikatakan anak kepada warga sekolah. 

Seorang lagi saksi, katanya, ketika itu berada dalam bas. 

"Saksi berkenaan melihat mangsa dipukul dan sempat mengambil gambar salah seorang daripada kumpulan berkenaan," katanya. 

Dr Billy berkata, oleh kerana kedua-dua saksi berkenaan masih di bawah umur, ibu bapa pelajar berkenaan tekah diminta untuk membuat akuan sumpah. 

“Saya telah menyerahkan bukti berkenaan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, kita harap kes seumpama ini diberi perhatian serius bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan