Tertuduh lelaki dan pasangan wanita diiringi pegawai penguat kuasa syariah untuk dihantar ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan atas dakwaan berkhalwat
DUNGUN: Gara-gara tidak mahu bersubahat dengan ibunya, seorang anak gadis enggan membayar denda mahkamah yang dikenakan ke atas ibunya, setelah wanita berstatus ibu tunggal itu didapati bersalah berkhalwat di sebuah rumah di Paka, awal Januari lalu.
Tertuduh, Nor Rasidah Abd Rashid, 40, tidak dapat menahan sebak apabila mengetahui dia bakal dipenjarakan setelah gagal menjelaskan denda mahkamah berjumlah RM1,800.
Namun selepas beberapa jam menunggu di pekarangan mahkamah, wanita yang disabitkan atas kesalahan mengikut Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya, akhirnya berjaya dibebaskan setelah seorang rakannya tampil menjelaskan denda.
Nor Rasidah bersama pasangannya, Wan Mohd Rizal Wan Ariff, 22, ditahan Pegawai Penguat kuasa Syariah Kemaman di sebuah rumah di Kampung Darat Kolam, sehari sebelum perbicaraan tersebut, setelah menghadapi waran tangkap kerana gagal tampil di mahkamah untuk menghadapi tuduhan khalwat yang dikenakan ke atas mereka sebelumnya.
Tertuduh perempuan itu dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun pagi kelmarin bersama Wan Mohd Rizal dan didapati bersalah serta didenda RM1,800 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.
Wan Mohd Rizal yang menghadapi tuduhan sama bagaimanapun gagal menjelaskan denda menyebabkan dia yang berasal dari Kampung Gelugor, Kerteh, Kemaman itu dihantar ke penjara Marang, untuk menjalani hukuman penjara selama dua bulan./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan