Rabu, 26 Januari 2011

Tidak mengaku salah cabul

KUALA TERENGGANU: Anak lelaki kepada seorang tauke restoran masakan panas di Seberang Takir tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini semalam atas tuduhan mencabul seorang gadis bawah umur pada 22 Mac 2009.

Tertuduh, Md Syihabudin Md Kamil, 22, dari kampung Sungai Ikan, Tepoh dituduh di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul gadis bawah umur juga pelayan kedai milik bapa tertuduh.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu kelihatan tenang sepanjang pertuduhan yang dijalankan oleh Inspektor Miky Anak Dustan Muda di hadapan hakim, Siti Faraziana Zainuddin.

Mengikut pertudu-han, Md Syihabudin dituduh menggunakan kekerasan jenayah ke atas seorang gadis berusia 16 tahun dengan niat untuk mencabul kehorma-tannya di kawasan belakang Lapangan Terbang Sultan Mahmud, kampung Tanjung Jaafar Seberang Takir pada jam 6.30 petang, 22 Mac 2009.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana yang setimpal.

Dalam mahkamah sama, tertuduh turut dituduh di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, pindaan 2002 kerana memasukkan dadah dalam badan jenis methamphitamine serta dituduh di bawah peraturan 25 (1) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 tidak membawa kad pengenalan diri di Pejabat Jenayah D4, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) pada 17 Januari lalu.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 bagi pertuduhan melibatkan cabul dan menetapkan 24 Februari depan sebagai tarikh melantik peguam serta menyerahkan dokumen.

Manakala bagi dua pertuduhan lagi iaitu memasukkan dadah dalam tubuh dan tidak membawa kad pengenalan dikenakan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 20 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan