JOHOR BAHRU: Dua kanak-kanak Orang Asli yang sedang mandi di Sungai Skudai, terkejut apabila menemui bayi cukup sifat dalam bungkusan beg plastik di sini semalam.
Pada mulanya, mereka menyangka beg plastik berwarna kuning itu berisi barang lusuh dan pakaian, namun terkejut sejurus membukanya kerana mendapati ia berisi mayat bayi.
Tina Paizal dan Mazni John yang masing-masing berusia 9 tahun bergegas pulang ke rumah dalam keadaan ketakutan dan menceritakan penemuan itu kepada keluarga mereka.
Tina berkata, selepas memaklumkan kepada keluarganya, ibunya bergegas ke sungai berkenaan dan mendapati dalam bungkusan itu adalah mayat bayi.
“Ketika sedang asyik mandi, saya dan rakan melihat satu beg plastik berwarna kuning.
“Pada mulanya kami sangkakan kandungan adalah pakaian, namun setelah membuka, kami terkejut ianya mayat bayi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, pihaknya segera ke tempat kejadian setelah menerima panggilan daripada penduduk kampung terbabit.
“Sepasukan anggota polis telah ke lokasi kejadian dan mendapatkan beg plastik terapung-apung dalam sungai bersebelahan dengan Kampung Sungai Bakar Batu.
“Setelah membuka beg plastik itu, polis menemui mayat seorang bayi yang masih bertali pusat di dalamnya,” katanya.
Ruslan berkata, siasatan awal mendapati tiada kecederaan di luaran dan badan bayi berkenaan.
Katanya, mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.
“Kami percaya bayi itu telah dibuang di kawasan berdekatan dan dipercayai dibuang sehari yang lalu (kelmarin),” katanya.
Ruslan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline polis 07-2212999 atau datang ke balai polis terdekat./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan