Rabu, 12 Januari 2011

Rompak RM300,000

SIASAT...anggota unit forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.
SIASAT...anggota unit forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian

KUALA LUMPUR: Sekumpulan tiga lelaki bertindak nekad melarikan sebuah van milik sebuah syarikat keselamatan sebelum mengambil semua wang RM300,000 dalam kejadian di Taman Segar, di sini, petang semalam.

Van itu pula ditinggalkan di belakang sebuah bangunan kedai di Lorong Manis 2, berhampiran tempat kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, tiga lelaki terbabit termasuk seorang daripadanya bersenjatakan pistol meluru ke arah van berkenaan yang ketika itu mengambil wang dari sebuah syarikat telekomunikasi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata seorang daripada mereka mengacukan pistol ke arah pengawal keselamatan sebelum mengarahnya keluar daripada van itu.

“Mereka melarikan van berkenaan ke sebuah lorong di belakang premis kira-kira 120 meter dari tempat kejadian dan mengambil semua karung berisi wang tunai yang dianggarkan RM300,000.

“Hasil siasatan awal mendapati tiga pekerja syarikat kawalan keselamatan itu baru selesai mengambil wang di beberapa premis sekitar kawasan berkenaan. Semua suspek dipercayai berusia 30-an,” katanya.

Harian Metro difahamkan kumpulan terbabit seolah-olah sudah merancang rompakan itu kerana mereka meletakkan kenderaan di lorong belakang premis itu sebagai persediaan untuk memindahkan wang dan melarikan diri.

Selain itu, kumpulan terbabit kemungkinan saki baki Geng Deva berdasarkan modus operandi mereka hampir sama dengan kejadian yang berlaku empat tahun lalu yang membabitkan kerugian kira-kira RM8 juta.

Berikutan kejadian itu, polis mengambil keterangan tiga pengawal keselamatan berkenaan untuk siasatan lanjut dan hasil siasatan awal mendapati ada satu kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pemilik premis di belakang kawasan itu, namun tidak diketahui sama ada ia berfungsi atau tidak./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan