Sabtu, 1 Januari 2011

Kes bunuh Siti Mazni: Dua remaja lelaki berusia 14 dan 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah

BATU PAHAT, 30 Dis: Dua remaja lelaki berusia 14 dan 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh pelajar Tingkatan Dua, Siti Mazni Abdul Rahman yang mayatnya ditemui di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya.

Kedua-duanya didakwa membunuh Siti Mazni, 14, di Ladang Kelapa Sawit Kampung Parit Ju Darat, Parit Sulong pada pukul 4.30 petang, 15 Disember lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi menetapkan 23 Februari ini untuk tarikh sebutan semula kes tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Safiah Abdul Aziz

Sementara itu, tiga suspek lain iaitu dua remaja berusia 14 tahun dan seorang lelaki berumur 44 tahun dibebaskan dengan jaminan bon RM50,000 setiap seorang mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Pekarangan mahkamah berkenaan turut dipenuhi keluarga tertuduh yang sebelum itu dibawa ke mahkamah menaiki van khas berwarna putih.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan penemuan mayat Siti Mazni di kebun kelapa sawit kira-kira 100 meter dari rumahnya pada 17 Disember lalu selepas dilaporkan hilang tiga hari sebelum itu.

Mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putera, Tongkang Pecah itu ditemui dengan kesan tikaman di bahagian hadapan badannya dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang dalam ladang berkenaan./utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan