Khamis, 13 Januari 2011

Dua buruh ditahan bersama heroin

KUANTAN: Polis Pahang menahan dua orang buruh bersama dadah jenis heroin di Kuantan dan Pekan pada Isnin dan Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Narkotik Pahang Supt Yap Toon Khuan berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang buruh lelaki berusia 43 tahun dalam satu serbuan di rumah suspek di Kampung Tupat, Pekan pada pukul 10.30 malam Isnin lepas.

Beliau berkata, pemeriksaan di rumah suspek membawa kepada penemuan heroin seberat 40 gram yang disorok di dalam almari.

Sementara itu dalam kejadian kes kedua, katanya polis menahan seorang buruh warga asing berusia 35 tahun yang didapati membawa 18.4 gram heroin di dalam poket seluarnya di Jalan Penjara di sini pada 3.30 petang Selasa lepas.

Katanya, susulan tangkapan itu, suspek membawa anggota polis ke rumahnya di Jalan Penjara, di mana polis menemui 15.7 gram heroin lagi yang disimpan dalam satu tin di dalam bilik.

Kedua-dua kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan