KUALA LUMPUR: Tiga remaja lelaki dicekup polis di sebuah rumah di Bandar Tun Razak di sini Rabu lepas berhubung cubaan memecahkan masuk sebuah kereta mewah jenis ‘Porsche’ di sebuah stesen minyak di Jalan Awan Hijau di sini pada 9 Disember lepas.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner (ACP) Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata penahanan tiga remaja berumur antara 15 hingga 17 tahun itu adalah hasil siasatan terhadap maklumat yang diberikan pemilik kenderaan tersebut iaituseorang pengarah syarikat.
"Pengadu terlihat kelibat dua remaja yang cuba memecahkan cermin keretanya, yang melarikan diri dengan motosikal kerana disergah. Pengadu sempat mengambil nombor pendaftaran dan jenis motosikal yang digunakan," katanya dalam sidangmedia di sini, Isnin.
Katanya polis turut merampas sebuah motosikal dan siasatan awal mendapati ia adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang di daerah Petaling.
Kesemua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis dengan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan serta Seksyen 379(a) kanun yang sama, katanya. /Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan