KOTA KINABALU: Kecurigaan dua sahabat melihat kelibat dua manusia menyiram air selepas menanam sesuatu di kawasan lapang di Pusat Komersial Salut di sini, malam kelmarin membongkar satu lagi cubaan menyembunyikan janin akibat pengguguran haram yang dipercayai dilakukan pasangan terlanjur.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, Noor Mohamad Mat, 23, dan Pance Fransisu, 22, yang kebetulan berada tidak jauh dari lokasi kejadian itu tidak menyangka kehadiran seorang lelaki dan wanita di kawasan lapang itu untuk mengebumikan janin bayi yang dipercayai berusia lima bulan itu.
Noor Mohamad berkata, ketika itu dia dan rakannya melepak di kawasan berkenaan dan pada awalnya dia menyangka pasangan berkenaan menanam bangkai haiwan peliharaan kesayangan mereka.
“Ketika itu saya melihat seorang lelaki dan seorang wanita bertudung dalam keadaan mencangkung menggali tanah dan menimbusnya semula sebelum membuang sebuah kotak kecil ke kawasan berhampiran.
“Lelaki berkenaan dilihat terus ke kereta Proton Iswara mengambil sebotol air dan menyiramnya ke atas tanah yang digali itu sebelum diikuti wanita terbabit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurutnya, pasangan berkenaan dilihat beredar ke sebuah restoran untuk menjamu selera sebelum meninggalkan kawasan berkenaan tidak lama kemudian.
“Sebaik yakin mereka sudah beredar, saya dan rakan tergerak untuk menyiasat apakah sebenarnya dilakukan pasangan berkenaan di kawasan lapang di situ kerana kami bertambah curiga apabila mendapati kotak yang dibuang pasangan berkenaan ada kesan darah.
“Pance memberanikan diri menggali semula tanah itu dan kami terkejut apabila mendapati satu bungkusan kain putih yang tertanam di dalam lubang itu mengandungi janin,” katanya.
Mengesyaki perkara itu ada kaitan dengan cubaan menyembunyikan pengguguran haram, mereka menghubungi Balai Polis Manggatal untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan janin bayi terbabit.
Katanya, polis sedang giat mengesan kenderaan yang dinaiki pasangan mencurigakan itu dan percaya kejadian ada kaitan dengan cubaan menyembunyikan pengguguran janin secara haram.
“Janin dipercayai berusia lima bulan itu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat dan kami melakukan siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta memberi kerjasama bagi mengesan suspek atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu 088-242111,” katanya.
Dua hari lalu, Harian Metro melaporkan penemuan janin berusia enam bulan di tempat pembuangan sampah tidak jauh dari lokasi penemuan terbaru kelmarin./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan