TANJUNG MALIM: “Saya tidak dapat bayangkan nasib bayi lelaki ini jika dia lewat ditemui kerana banyak anjing liar berkeliaran di sini,” kata R Retinadevi, 25, yang menemui bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dan ditinggalkan di hadapan sebuah klinik swasta di Nombor 11, Jalan Chong Ah Peng, malam kelmarin.
Retinadevi yang juga pekerja klinik itu berkata, dia bersama seorang rakan sekerjanya menemui bayi itu dalam sebuah beg pakaian bayi kira-kira jam 9 malam.
“Saya sedang mengemas kini data pesakit apabila dimaklumkan anak pesakit, dia mengesyaki ada bayi ditinggalkan dalam beg di kaki lima depan klinik.
“Saya bersama rakan kemudian keluar dan melihat beg itu. Sebaik membuka beg itu, saya dan rakan sebak melihat seorang bayi lelaki dibungkus sehelai kain sedang nyenyak tidur.
“Saya percaya ia baru dilahirkan beberapa jam sebelum itu kerana tali pusatnya masih ada di perutnya. Saya gembira kerana bayi itu ditemui selamat kerana banyak anjing liar berkeliaran sekitar kawasan ini,” katanya.
“Saya bersetuju dengan iklan ditayangkan di sebuah stesen tempatan mengenai kes pembuangan bayi yang mengatakan dalam dunia haiwan tiada manusia tapi dalam dunia manusia terdapat haiwan.
“Kejadian malam tadi (kelmarin) membuktikannya, malah saya menangis ketika mendukung bayi itu kerana ia begitu comel dan langsung tidak berdosa. “Dia tidur dengan nyenyak dan hanya menangis setengah jam kemudian kerana lapar,” katanya sambil menambah, selepas doktor di klinik melakukan pemeriksaan, bayi itu kemudian dihantar ke Balai Polis Tanjung Malim.
Sementara itu, Ketua Polis Tanjung Malim, Superintendan Mohd Ali Mat Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan bayi lelaki terbabit./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan