SUNGAI PETANI, 3 Jan: Seorang wanita dipercayai warga Vietnam dibunuh dengan kejam sebelum mayatnya dicampak ke bahu jalan di Jalan Lencongan Timur berdekatan persimpangan Sungai Pasir, di sini awal pagi ini.
Mangsa dikenali sebagai Yuan Ting Lan, berusia awal 30-an ditemui kira-kira pukul 3 pagi oleh penunggang motosikal dalam keadaan separuh bogel dengan kecederaan parah di kepala selain terdapat kesan jerut di leher.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang berkata, siasatan awal mendapati, mangsa mungkin dibunuh di tempat lain sebelum dicampakkan di kawasan tersebut.
“Mangsa ditemui mati dalam keadaan separuh bogel dengan bahagian skirt terselak. Pemeriksaan mendapati terdapat kecederaan di kepala dan kesan jerut di leher serta hidung mengalami pendarahan.
“Berdasarkan semakan awal, mangsa adalah warga Vietnam yang tinggal di sebuah rumah kongsi di belakang kilang berdekatan kawasan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Aik Chang berkata, polis tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian.
“Ketika ditemui, mangsa masih memakai tali leher emas putih. Motif kejadian bukan samun kerana barangan peribadi lain seperti beg tangan dan wang tunai juga masih berada bersama mangsa.
“Bagaimanapun, kita percaya wanita ini mati dalam tempoh 24 jam sebelum mayatnya ditemui,” katanya.
Polis katanya, setakat ini mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan polis sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian,” jelasnya.
Beliau juga meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat mengenai kes tersebut supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4212222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan./utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan