Jumaat, 14 Januari 2011

Bapa ditahan cederakan anak dengan tali pinggang

IPOH, 14 Jan: Seorang bapa ditahan dipercayai telah mencederakan anak lelakinya berusia 18 bulan di rumah mereka di Kampung Datuk Ahmad Said, Manjui, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim, berkata, lelaki berusia 54 tahun dan bekerja sendiri itu ditahan pada pukul 4 pagi semalam selepas menyerah diri di Balai Polis Jelapang.

Mangsa didapati patah tulang peha kanan dikatakan telah dihempas oleh bapanya ke atas tilam di rumah mereka pada Jumaat lepas, katanya ketika dihubungi hari ini.

Dzuraidi berkata lelaki itu pulang ke rumah daripada berniaga dan dikatakan berselisih faham dengan isterinya lalu masuk ke dalam bilik dan mencapai tali pinggang dan memukul peha kanan anaknya dan menghempaskan mangsa ke atas katil, katanya.

Mangsa yang mengalami kecederan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun oleh isterinya untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Ibu mangsa yang berusia 38 tahun telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Lelaki berkenaan direman empat hari untuk siasatan lanjut dan akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan