Selasa, 25 Januari 2011

Remaja 15 tahun dibelasah dan ditikam

KOTA KINABALU: Seorang remaja bukan saja dibelasah separuh mati, malah isi perutnya hampir terburai selepas diserang empat sekawan yang dipercayai didalangi seorang lelaki yang cemburu melihat mangsa intim dengan bekas kekasihnya dalam kejadian di Kampung Kepungit di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa yang berusia 15 tahun dikatakan berehat di rumahnya sebelum seseorang memanggil namanya dan sebaik membuka pintu, sekumpulan lelaki menariknya keluar lalu berlaku pertengkaran sebelum berakhir dengan adegan tumbuk menumbuk.

Mangsa yang berseorangan ketika itu terus dibelasah kumpulan lelaki terbabit sebelum seorang daripada mereka mengeluarkan senjata tajam dipercayai sebilah pisau lalu menikam perut mangsa.

Panik melihat mangsa terbaring berlumuran darah, semua penyerang bertindak melarikan diri dan membiarkan mangsa terbaring di halaman rumahnya sambil meraung kesakitan.

Seorang jiran secara kebetulan mendengar raungan mangsa dan terkejut sebaik melihat dia berlumuran darah sambil menggelupur di atas tanah sebelum bergegas membawanya ke hospital mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, hasil siasatan awal, polis berjaya menahan empat lelaki berusia 15 hingga 20 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, berlaku salah faham antara mangsa dan seorang daripada suspek sehingga membawa kepada pergaduhan.

“Polis masih menyiasat motif sebenar pergaduhan tetapi tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada perebutan seorang gadis,” katanya.

Ahmad Sofi berkata, ketika kejadian, keluarga mangsa tiada di rumah dan pergaduhan itu hanya disedari jiran mangsa yang terdengar jeritan mangsa selepas ditikam penyerangnya.

“Pemeriksaan di tempat kejadian juga gagal menemui senjata digunakan suspek dan polis masih menjalankan siasatan termasuk mengesan senjata berkenaan," katanya.

Ahmad Sofi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata maut dalam rusuhan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Mangsa yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. “Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi polis di talian 088-242111 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera," katanya./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan