Selasa, 4 Januari 2011

'Pulanglah anakku...'

MELAKA: Sesi persekolahan baru yang dibuka hari ini bukan saja menimbulkan rasa terkilan kepada sepasang suami isteri apabila anak perempuan mereka tidak hadir ke sekolah, tetapi turut bimbang berhubung keselamatan dirinya sejak keluar rumah pada pertengahan bulan lalu.

Ini berikutan pelajar tingkatan empat, Siti Nurhazan Azhari, 16, menghilangkan diri sebaik keluar dari rumah keluarganya di Taman Bukit Larang Indah, Telok Mas, sejak 19 Disember lalu tanpa sebarang khabar berita.

Ibunya, Halimah Mistam, 50, berkata, dia dan suaminya, Azahari Awang, 45, berasa risau dengan keadaan diri anak ketiga daripada enam beradik itu yang gagal dikesan sehingga kini selepas dilihat kali terakhir berbual melalui telefon di hadapan rumah mereka oleh adik lelakinya, Luqman Hakim, lapan tahun.

Menurutnya, sepanjang kehilangan anaknya, dia dan suaminya sentiasa berasa tidak tenteram dan susah hati, malah sukar melelapkan mata setiap malam apabila mengenangkan nasib anak perempuannya yang tidak diketahui berada di mana sekarang.

Menceritakan mengenai kehilangan Siti Nurhazan, Halimah berkata, anak perempuannya memakai seluar berwarna hitam dan berbaju tidur putih, selain tidak membawa sebarang pakaian serta kad pengenalan dan wang ketika itu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang menunaikan solat Isyak di ruang tamu, manakala suaminya baru saja keluar minum di warung berhampiran rumah dan Siti Nurhazan berada di depan rumah kira-kira jam 11.20 malam sedang berbual menggunakan telefon bimbit.

Katanya, berdasarkan cerita anak keempatnya, Shahrin Al-Hafiz, 12, dia ternampak sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna kelabu memecut laju di lorong berhampiran rumah mereka kira-kira lima minit selepas Siti Nurhazan dilihat di depan rumah.

“Anak saya juga mengatakan, dia ternampak kakaknya di dalam kereta itu dan kakaknya dilihat menoleh ke belakang. Bagaimanapun, dia tidak pasti berapa orang ada dalam kereta berkenaan.

“Sebaik diberitahu, saya terus menghubungi suami dan berusaha menghubungi melalui telefon bimbitnya beberapa kali, tetapi tidak dijawab. Kami menelefonnya sehingga jam 2 pagi (keesokan harinya) tetapi telefon itu dimatikan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, Siti Nurhazan tidak pernah keluar malam dan dia sememangnya seorang anak yang mendengar kata dan tidak dibenarkan keluar ke mana-mana khususnya pada waktu malam.

Katanya, sebelum itu, dia juga tidak menunjukkan tanda merajuk malah sebelum kehilangannya, dia sempat membeli kasut dan pakaian di Pasar Tani Pekan Telok Mas bagi digunakan untuk majlis perkahwinan ibu saudaranya pada 26 Disember lalu.

Katanya, dia dan isteri merayu bantuan serta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai anak mereka agar menghubunginya di talian 016-6605774 atau balai polis berhampiran./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan