KUALA LUMPUR, 18 Jan: Seorang pekerja kontrak terduduk seketika apabila dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyebabkan kematian seorang warga emas berusia 73 tahun, hujung tahun lalu.
Dalam kejadian tersebut, K. Suppiah, 61, telah memukul Periasamy, 73, dengan menggunakan dua batang kayu sehingga menyebabkan cedera parah di bahagian kepala lelaki tersebut.
Seorang anggota polis yang sedang membuat rondaan kemudian bergegas ke tempat kejadian selepas menerima aduan daripada seorang mekanik sebuah bengkel motosikal yang ternampak tertuduh memukul mangsa.
Tertuduh bagaimanapun berjaya diberkas semasa duduk berehat di tempat kejadian kerana keletihan. Warga emas itu turut menunjukkan kayu panjang yang digunakannya kepada anggota polis tersebut.
Fakta kes mengenai kejadian itu diakui oleh Suppiah selepas dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa sebelum Hakim Mohamad Sekeri Mamat menjatuhkan hukuman.
Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu tetapi menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding hari ini.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkapan tertuduh iaitu pada hari kejadian.
Lelaki itu mengaku melakukan kesalahan tersebut terhadap Periasamy di Taman Permainan Kanak-Kanak Jalan Seluang, Taman Tenaga Batu 3 1/2, Jalan Cheras di sini pada pukul 12.46 tengah hari, 7 Oktober tahun lalu.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ashiqin Zulkifli mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, Suppiah yang tidak diwakili peguam bela memohon hukuman ringan kerana masih menanggung seorang isteri dan empat anaknya.
Bagaimanapun, Nurul Ashiqin memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam selain sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat./utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan