Rabu, 5 Januari 2011

Bayi Lelaki Ditemui Berhampiran Istana Budaya

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki yang dibalut dengan kain putih ditemui dalam sebuah beg berwarna hitam di tepi jalan berhampiran Istana Budaya, Tasik Titiwangsa, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komicioner Zakaria Pagan berkata, seorang anggota Polis Bantuan Pos Malaysia yang kebetulan berada di kawasan itu telah dimaklumkan mengenai penemuan itu oleh orang awam kira-kira pukul 1 tengah hari.

"Pengadu (orang awam) yang berusia 23 tahun telah menemui bayi lelaki terbabit yang masih hidup dalam beg berwarna hitam semasa melalui kawasan berkenaan sebelum meminta pertolongan daripada polis bantuan berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini.

Bayi lelaki seberat satu kilogram itu kemudian dibawa oleh anggota berkenaan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

"Pemeriksaan awal pihak hospital mendapati bayi itu lahir tidak cukup bulan dan dianggarkan dilahirkan selepas kandungan berusia enam hingga tujuh bulan.

"Bayi itu kini berada dalam keadaan stabil dan kita akan segera menjalankan siasatan bagi mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang bayi lelaki berkenaan," kata Zakaria.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40422222./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan