KUANTAN: Cubaan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun melarikan barang kemas dari sebuah kedai emas di Jalan Pak Sako 1, Temerloh semalam gagal apabila dia ditangkap oleh peniaga kedai emas berkenaan.
Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata, kejadian pada pukul 2.50 petang itu berlaku ketika remaja terbabit datang ke kedai itu dan berpura-pura untuk membeli emas.
"Suspek kemudiannya meminta seorang pekerja lelaki berusia 22 tahun mengeluarkan dua utas gelang emas yang bernilai RM3,200,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, selepas itu berlaku proses tawar-menawar di antara remaja terbabit dengan pekerja berkenaan sebelum suspek bertindak melarikan gelang-gelang itu.
Tindakan pantas pekerja berkenaan mengejar suspek berjaya menahannya di hadapan sebuah bank berhampiran kedai emas itu dan menyerahkannya kepada polis, katanya./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan