SHAH ALAM: Tangisan seorang bekas juruteknik ketika merayu hukuman ringan setelah dijatuhi hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan merompak seorang wanita Indonesia pada tahun lepas gagal melembutkan hati Hakim Mahkamah Sesyen Latifah Mohd. Tahar.
Azharin Ripin, 34, yang tidak diwakili peguam tiba-tiba menangis teresak-esak semasa memohon hukuman ringan itu sambil menyatakan dia telah insaf dengan perbuatannya itu.
"Saya mempunyai empat anak yang masih kecil berumur lapan, enam, empat dan dua tahun... ketika itu saya terdesak, saya baru berhenti kerja dan ada masalah kewangan, jadi saya terlintas nak buat macam itu (merompak). Tetapi itulah yang terakhir puan,” katanya.
"Tidak ada cara lain ke kamu nak cari duit? Ini bukan caranya. Masa kamu buat tidak terfikir pula tentang anak-anak dan isteri”, kata Hakim Latifah dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman dari tarikh dia ditangkap pada 14 Januari lepas./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan