Sabtu, 15 Januari 2011

Pemuda Dijumpai Mati Dengan Kesan Tikaman

PASIR PUTEH: Seorang pemuda dijumpai mati berlumuran darah dipercayai selepas terbabit dalam satu pergaduhan, di dalam semak di Kampung Haji Wan Omar, Tok Bali, di sini, malam tadi.

Mayat Mohd Roslan Mat Ail, 31, ditemui dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan oleh penduduk kampung di kawasan itu pada kira-kira pukul 11 malam.

Ibu Mohd Roslan, Jizah Said, 66, ketika ditemui di Hospital Tengku Anis di sini, hari ini berkata dia diberitahu mengenai penemuan mayat anaknya itu oleh penduduk kampung ketika sedang menonton televisyen.

Katanya sebelum itu ketika berada di rumah, anaknya menerima panggilan telefon yang dipercayai daripada rakannya yang ingin berjumpa dengannya di luar rumah.

"Sebaik sahaja diberitahu jumpa mayat, mak cik terus ke tempat kejadian kira-kira satu kilometer dari rumah, dan tidak menyangka kejadian ngeri seperti itu boleh berlaku ke atas anak mak cik," katanya.

Jizah berkata Mohd Roslan merupakan anaknya yang ketujuh daripada lapan orang beradik yang tidak mempunyai pekerjaan tetap./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan