Rabu, 12 Januari 2011

Cubaan bunuh isteri

AMPANG: Seorang penjual kain yang dituduh cuba membunuh isterinya yang sarat mengandung lima bulan dengan pisau pemotong daging dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Noradidah Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Fitri Mat Isa, 36 (gambar) selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. Beliau memerintahkan hukuman itu berjalan bermula semalam.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Fitri menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga selesai proses rayuan di Mahkamah Tinggi dengan syarat wang jaminan RM6,000 ditambah kepada RM10,000. Fitri yang kini bekerja sebagai pesawah kelihatan menundukkan wajah ketika mendengar keputusan itu. Noradidah dalam penghakimannya, berkata kesalahan dilakukan tertuduh sangat serius. Mengikut pertuduhan, Fitri didakwa cuba membunuh Nor Shamila Abdul Majeed, 36, dengan menggunakan pisau pemotong daging yang boleh menyebabkan kematian atau kecederaan kepada mangsa. Kejadian berlaku di rumah mangsa di Blok B-07-10 Pangsapuri Sri Ampang, Taman Dagang Ampang, di sini pada jam 10.30 malam, 2 Februari 2010. Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. Terdahulu, peguam Fahri Azzat memohon mahkamah mengenakan bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah terhadap anak guamnya kerana tertuduh sudah benar-benar insaf.

“Mangsa juga sudah memaafkan tertuduh atas segala yang berlaku dan mangsa sendiri pernah membuat permohonan kepada pihak pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan terhadap suaminya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nordalina Ali memohon agar hukuman yang berat dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan serius dan membabitkan penggunaan senjata yang berbahaya iaitu pisau pemotong daging./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan